Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Perkemas komunikasi, jangan jadikan bahan ketawa
Diterbitkan:  Oct 22, 2020 5:21 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mahu kerajaan memperbaiki sistem penyampaian komunikasi dalam menyampaikan maklumat dan arahan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tidak menjadikannya sebagai bahan ketawa.

Jelasnya walaupun telah lapan bulan sejak diumumkan PKP, tapi masih belum jelas soal strategi kerajaan dalam menangani kemelut ini, dan tentang bagaimana harus dibangunkan semula ekonomi.

"Tetapi apa yang disajikan kepada rakyat adalah arahan atau panduan yang bertembung, termasuk amalan antara dua darjat dalam pelaksanaan hukuman.

"Terdapat banyak kekeliruan terkait prosedur operasi standard (SOP) dan arahan bekerja dari rumah yang diumumkan Menteri berkaitan. Ini bukan bahan ketawa tatkala melibatkan atau mengesankan kehidupan jutaan rakyat di Lembah Klang.

“Arahan bekerja dari rumah baru-baru ini ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah, manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar mempersoalkan bagaimana keributan itu dapat membantu aspek kesihatan awam dengan mengorbankan pekerja kolar biru.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob 'tergelak kecil' atas kekeliruan orang ramai mengenai arahan kerja dari rumah, berkata mungkin ramai orang yang tidak sabar untuk menunggu maklumat lebih lanjut daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

Ismail Sabri 

Jelasnya, beliau telah mengatakan bahawa pengumuman lanjut akan dikeluarkan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan memberikan perincian lebih lanjut mengenai perintah itu.

Bagaimanapun, kata Ismail orang ramai kelihatan bingung dan mencari lebih banyak maklumat.

MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan pula melahirkan kesal dengan 'diskriminasi’ dan kekeliruan yang dicetuskan oleh kerajaan dalam melaksanakan arahan bekerja dari rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Setiausahanya, Mohd Faisal Husin berkata, arahan berkenan mempunyai kelemahan cukup ketara dengan pihak berkepentingan seperti kumpulan majikan dan wakil pekerja tidak dirujuk sebelum keputusan melaksanakannya dibuat.

Dalam pada itu Anwar berkata, perubahan di saat akhir, termasuk arahan yang melibatkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah MITI benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa semua.

"Kita perlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut. Ia tidak membina keyakinan, samada domestik ataupun kepada para pelabur luar apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh.

"Meski kerajaan mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi dibenarkan, namun panduan terkini ternyata akan memberi dampak pada perniagaan, terutamanya kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan," kata Anwar lagi.

Jelasnya, menurut Retail Group Malaysia (RGM), kira-kira 51,000, iaitu sebanyak 15% dari jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari empat atau lima bulan mendatang.

Lihat Komen
ADS