Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang kaitkan penegasan sokongan Zahid pada PN dengan kes Khairuddin
Diterbitkan:  Oct 22, 2020 11:18 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang mengaitkan penegasan semula sokongan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terhadap Perikatan Nasional dengan tiada tindakan lanjut yang dikenakan ke atas Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali selepas ingkar kuarantin kendiri wajib Covid-19.

Lim percaya itu bukanlah kebetulan, sebaliknya katanya, Umno telah mendapati yang mereka kini tidak mempunyai sokongan penuh daripada PAS.

“Mungkin pimpinan Umno telah mendapati yang mereka tidak akan mendapat sokongan daripada PAS dalam Game of Thrones ini ...

“... dan jika perkara ini berlaku, mereka tidak boleh menjangka sokongan PAS mahupun blok Parlimen Umno untuk bersatu teguh menyokong apa-apa sahaja keputusan Zahid dan (bekas perdana menteri) Najib Razak secara membuta tuli.

“Ataupun, adakah plot, subplot, dan tindak balas yang rumit ini hanya akan bertambah besar dan rumit?” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Umno berkata sedang mempertimbangkan menarik diri daripada PN, di tengah-tengah ketegangan dengan Bersatu dan spekulasi bahawa ahli Parlimen Umno menyokong presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri baru.

Bagaimanapun, Zahid semalam mengumumkan “gencatan politik” dan berkata partinya itu akan mendukung kerajaan PN dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara.

Semalam juga, polis mengumumkan yang Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) ke atas Khairuddin atas pelanggaran kuarantinnnya.

Menurut AGC, ini memandangkan Khairuddin tidak diserahkan borang yang mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan selepas dikatakan pulang dari lawatan kerja ke Turki pada 7 Julai.

PAS merupakan sekutu Umno dalam Muafakat Nasional (MN), yang dalam rancangan untuk didaftarkan secara rasmi.

Bagaimanapun, di kala Umno mahu menarik diri daripada PN, PAS pula kekal menyokong kerjasama itu.

“Pendirian PAS tetap sama iaitu perkukuhkan Muafakat Nasional dan pertahankan PN,” kata timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man minggu lepas.

Lihat Komen
ADS