Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob menganggap cadangan seorang guru agar pusat kuarantin diwujudkan di kawasan pulau yang mempunyai kes Covid-19 adalah baik dan akan dibincangkan dengan lebih lanjut.

Mengulas mengenai isu itu dalam sidang media hariannya hari ini, Ismail Sabri berkata saranan tersebut akan diperincikan lagi bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Satu cadangan yang baik. Tentang penduduk di pulau-pulau (terbabit), yang pertama saya akan bincang dengan MKN Sabah; keduanya, saya akan panjangkan perkara ini kepada KKM kerana ia melibatkan pusat kuarantin di pulau.

“Dan (akan) bincangkan dengan Nadma sekali kerana pusat kuarantin ini di bawah Nadma.

"Insya-Allah, saya akan bangkitkan perkara ini,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Pagi tadi Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai kesukaran dihadapi petugas perubatan yang datang ke kawasan kepulauan di Sabah apabila sebahagian penduduk lari daripada menjalani saringan komuniti.

Apabila ada kes positif pihak yang berkenaan terpaksa pula berdepan kesukaran untuk meyakinkan mereka agar ke hospital di tanah besar bagi mendapatkan rawatan.

Justeru seorang guru sekolah komuniti di Pulau Omadal, Jefry Musa, menyarankan agar pusat kuarantin diwujudkan di pulau yang berkenaan untuk memudahkan pesakit dan petugas perubatan.

Kata pengajar Iskul Sama Dilaut Omadal (Sekolah Bajau Laut Omadal) itu, pusat kuarantin berkenaan boleh dibuka di sekolah-sekolah kebangsaan yang sedia ada, tanpa perlu membina bangunan baru. 

Kata Jefry dia terfikir mengenai cadangan itu apabila melihat penduduk kampung - terutamanya Bajau Laut di Pulau Omadal - lari dan menyorok di dalam rumah, hutan dan belakang pulau apabila pegawai perubatan datang untuk membuat saringan.

Malah dakwa Jefry, ada penduduk yang disahkan positif tetapi enggan dibawa ke hospital di tanah besar bagi mendapatkan rawatan.

Antara faktor yang menyumbang ke arah situasi itu ialah penduduk - terutama komuniti Bajau Laut - takut ke tanah besar kerana mereka hidup secara tertutup, jarang naik ke darat serta tiada keluarga sana.

Mereka juga ditakut-takutkan bahawa saringan Covid-19 adalah proses yang menyakitkan dan bimbang ditangkap polis, lebih-lebih lagi kebanyakan komuniti Bajau Laut dianggap sebagi orang tanpa negara kerana ramai tidak mempunyai dokumen sah.