Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kembalikan dana pusat jagaan kanak-kanak buat petugas barisan hadapan'

Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa Putrajaya memperuntukkan RM30 juta dalam Belanjawan 2021 bagi mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (Taska) buat petugas barisan hadapan.

Hal ini selepas dia mendapati sejumlah besar peruntukan yang diberikan menerusi Belanjawan 2020 untuk tujuan sama telah digunakan buat perkara lain.

Merujuk jawapan lisan Dewan Rakyat pada Julai lalu, Hannah berkata, RM24.5 juta dari RM30 juta yang diperuntukkan untuk Belanjawan tahun ini telah disalurkan semula sebagai pemberian sekali buat 4,000 pengendali penjagaan kanak-kanak swasta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Berdasarkan jawapan lisan Dewan Rakyat itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjelaskan bahawa RM5.5 juta telah diasingkan untuk penubuhan 34 buah taska di tempat kerja.

Kementerian itu menambah, mereka telah menyalurkan baki berjumlah RM24.5 juta kepada Kementerian Kewangan sejurus meningkatkan dana sebanyak RM35 juta untuk diberikan kepada pengendali penjagaan kanak-kanak.

Yeoh tidak menafikan bahawa pengendali pusat asuhan kanak-kanak turut mengalami kesukaran susulan perintah kawalan pergerakan yang diadakan.

Namun, dia menyatakan keperluan petugas barisan hadapan yang turut merupakan seorang ibu-bapa juga tidak ditangani.

Menerusi sidang media dalam talian pagi tadi, Yeoh berkata agak jarang bagi kerajaan untuk memperuntukkan dana yang dikhususkan bagi membina pusat jagaan kanak-kanak.

Katanya kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM10 juta pada tahun 2019 dan RM30 juta pada tahun 2020.

“Amat menyedihkan tujuan asal peruntukan dana RM30 juta itu gagal dan sia-sia begitu saja,” katanya lagi.

Yeoh turut merujuk tinjauan yang dilakukan di Twitter pada 24 Okt, menunjukkan hanya 9 peratus responded, yang bekerja di sektor kerajaan, mengaku menerima akses kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Menurut tinjauan tersebut, 52 peratus dari 2,679 responded berkata mereka terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak-anak, manakala lagi 17 peratus menyatakan bahawa terpaksa menjaga anak sendiri.

22 peratus responded turut melontarkan aduan berhubung pusat jagaan swasta yang mengenakan caj lebih tinggi.

“Covid-19 tidak akan hilang (buat masa ini), jadi kita mahu kerajaan untuk mengembalikan dana RM30 juta untuk mewujudkan Taksa (buat petugas barisan hadapan) dalam Belanjawan 2021,” kata Yeoh.

“Kita tahu ia satu keperluan penting dan Putrajaya perlu jadikan ini satu isu keutamaan.

“Jika mereka mahu petugas barisan hadapan jaga rakyat Malaysia, kerajaan perlu jaga petugas barisan hadapan,” katanya dengan menambah hanya 124 dari 148 hospital mempunyai Taska.

Yeoh turut menjelaskan bahawa dia tidak dapat menerima jawapan lisan Dewan Rakyat dari KPWKM yang mendakwa menerima permohonan kemudahan Taska yang hanya melibatkan RM5.5 juta.

“Lihat jurang masa. Langkah Sheraton berlaku pada Februari dan satu bulan selepas itu kerajaan adakan perintah kawalan pergerakan. Saya rasa jika kerajaan menggesa dan beri lebih masa kepada agensi untuk memberi respons, mereka akan gunakan lebih wang dana untuk meningkatkan kapasiti Taska,” katanya lagi.

Yeoh juga menyatakan keperluan untuk membesarkan pusat jagaan kanak-kanak kerana dia difahamkan terdapat beberapa tempat mengalami kekangan fasiliti sehingga tidak mampu mengambil lebih ramai kanak-kanak.

Terdapat laporan bahawa petugas barisan hadapan mengadu terdapat beberapa pusat jagaan kanak-kanak swasta menolak untuk menerima anak mereka kerana bimbang akan risiko jangkitan wabak Covid-19.

Sementara itu, kerajaan negeri Selangor telah mewujudkan tambahan pusat jagaan kanak-kanak di enam hospital dan beberapa agensi kerajaan buat petugas barisan hadapan Covid-19, termasuk pegawai perubatan.

Lihat Komen
ADS