mk-logo
Berita
‘Tak perlu darurat, duduk semeja luluskan Belanjawan 2021’- Saddiq
Diterbitkan:  Oct 24, 2020 6:13 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan memperoleh sokongan dwiparti untuk meluluskan Belanjawan 2021 dan bukannya mengisytiharkan darurat.

"Tidak perlu isytihar darurat, panggil semua duduk semeja untuk luluskan belanjawan 2021, tanpa ada pilihan raya," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Syed Saddiq, yang kini tidak menyebelahi mana-mana parti, berkata anggota parlimen telah membuktikan bahawa mereka boleh bekerjasama apabila diperlukan.

Dia berkata demikian merujuk pindaan perlembagaan untuk menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun yang mendapat sokongan Dewan Rakyat.

"Dahulu saya diperlekehkan apabila mencuba untuk pinda perlembagaan (Undi18) walaupun kerajaan tiada sokongan dua pertiga ahli parlimen.

"Saya dimaki oleh segelintir pemimpin kerana duduk bersama pembangkang untuk usahakan agenda nasional.

"Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia tetapi Alhamdulillah, kerana "Bipartisanhip", kita berjaya lakukan bersama.

“Ketepikan ego dan pecahkan tembok kepartian demi Malaysia tercinta,” katanya.

Justeru Syed Saddiq berharap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dapat mempertimbangkan cadangan tersebut.

"Kalau takut tidak cukup sokongan di parlimen, jangan ambil jalan mudah untuk gantung parlimen dan demokrasi," tambahnya.

Semalam, kabinet dilapor bersetuju pelaksanaan ‘darurat’ bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan Pahang, namun butiran mengenai pertemuan itu tidak didedahkan.

Kerajaan setakat ini belum menafikan atau mengesahkan bahawa darurat akan diisytiharkan.

Pemerhati dan pembangkang pula menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha untuk mengelakkan pilihan raya mengejut sekiranya Perikatan Nasional (PN) gagal meluluskan Belanjawan 2021.

Muhyiddin kini mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa memperolehi majoriti kukuh dan meyakinkan untuk mengambil alih kerajaan.

Pilihan raya mengejut akan mengundang padah memandangkan negara kini menghadapi gelombang ketiga jangkitan Covid-19 dengan lebih 8,400 kes aktif direkodkan sehingga semalam.

Lihat Komen
ADS