Beberapa nombor pendaftaran lori yang diperiksa susulan kejadian langgar lari mengorbankan seorang pegawai bomba di Jalan Puchong-Dengkil, Puchong, petang semalam didapati tidak tepat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari’at berkata nombor pendaftaran berkenaan diberikan seorang saksi kepada pegawai penyiasat di tempat kejadian.

“Kami sudah periksa beberapa kenderaan yang nombor pendaftarannya hampir sama dengan yang diberi saksi berkenaan tapi belum berjaya. Polis masih berusaha mengesan suspek,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Azman juga berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak membantu mengesan suspek terbabit kerana peranti itu hanya ada di sebuah plaza tol berdekatan, namun belum dapat dipastikan lori berkenaan melalui plaza tol itu atau tidak.

“Setakat ini juga tiada pemandu lori yang tampil di mana-mana balai polis bagi membuat laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Bedah siasat mangsa di Hospital Serdang sudah selesai dan kematian disahkan disebabkan kecederaan kemalangan,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan dalam kejadian pada kira-kira 1.45 tengah hari itu, Anuar Harun, 42, yang juga Penguasa Kanan Bomba dan Ketua Zon Daerah Petaling maut di tempat kejadian selepas skuter ditunggangnya bergesel dengan lori yang melarikan diri ke arah Sunway selepas kejadian.

- Bernama