Dr M sasar anggota keluarga serta rakan-rakan Pak Lah
Mengapakah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik pentadbiran kerajaan sekarng dan mereka yang ada kaitan dengannya? Beliau mendedahkan sebab-sebabnya sewaktu berucap dalam majlis yang dihadiri ahli-ahli Umno Kelantan.
Mengapakah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik pentadbiran kerajaan sekarng dan mereka yang ada kaitan dengannya? Beliau mendedahkan sebab-sebabnya sewaktu berucap dalam majlis yang dihadiri ahli-ahli Umno Kelantan.
Antara perkara yang disentuhnya dalam sesi selama 53 minit itu di Kota Bharu Jumaat lalu mencakupi kontroversi berkaitan dengan jambatan bengkok dan permit import kereta (AP).
Dr Mahathir juga menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengamalkan pilih kasih, serta mengkritik dua kakitangan kanan kumpulan akhbar the New Straits Times.
Mengenai menantu Abdullah Khairy Jamaluddin:
Kini tengok perkara-perkara yang berlaku. Umpananya berkenaan dengan apa nama... Khairy, menantunya. Semua orang kata menantu itu, 'Wah, bukan main lagi, (sudah) berkuasa'. Sampai Menteri-menteri besar nak buat apa pun kena tanya Khairy boleh ataupun tidak.
Kenapa? (Melainkan jawatan naib ketua pemuda Umno) orang ini langsung tidak ada jawatan dalam kerajaan. Dia boleh telefon menteri-menteri besar untuk memberi kontrak kepada sesiapa. Macam mana datang kuasa dia? Inilah yang saya tak setuju.
Dan dalam jangka masa yang pendek, sudah menjadi millionaire (jutawan). Kenapa kita tau dia dah jadi millionaire? Dia sudah isytihar, bahawa dia sudah membeli (sebahagian saham) ECM-Libra. Dan nilai saham (milik) dia RM9 juta. Mana datang RM9 juta, ceritalah. Pinjam bank mana ke? Orang tidak ada duit tak boleh pinjam. Orang yang boleh pinjam adalah orang yang ada duit saja...Dalam jangka masa yang pendek, selepas dia membeli, ECM-Libra ini telah mengambil alih, secara tidak langsung, sebuah syarikat kerajaan yang dipanggil Avenue Assets. Syarikat ini lebih besar dan nilai lebih tinggi daripada ECM-Libra...Siapakah tanggungjawab atas syarikat ini? Menteri Kewangan.
Tapi hakikatnya Menteri Kewangan yang pertama (yang bagi arahan). Menteri ini juga Perdana Menteri. Ini tak betul.
Mengenai anak Pak Lah Kamaluddin Abdullah:
Tapi anak yang seorang lagi pun seronok juga. Setakat yang saya tahulah. Semua kontrak dapat. Kontrak buat keretapi, kontrak buat bas, bawa arang batu daripada negara lain dengan kapal yang dia tak dak. Syarikat yang ada kapal tak dapat kontrak tapi syarikat yang tak ada kapal dapat kontrak. Macam mana ni? Banyak lagi lah yang saya tak dapat cerita.
Mengenai Timbalan Pengerusi NSTP, Datuk Kalimullah Masheerul Hassan:
Kalimullah ini marah kat saya pasal saya kata ini adalah 'cantuman' antara tuhan Hindu dengan ulamak Islam. 'Mullah' dengan 'Kali'. Oh, dia marah bukan main tau. Dia kata anaknya menangis. Tapi dia mengata pada saya macam-macam (disambut gelak ketawa hadiri).
Tiba-tiba orang ini berkuasa. Berkuasa memberi arahan kepada surat khabar tentang apa yang boleh dicetak. Bukan saja New Straits Times (NST). Utusan (Malaysia) dia nak kuasa juga. The Sun, The Star... semuanya dia kuasa. Dan, (dia) mengguna kuasa itu untuk kecam saya.
Sekarang ada perkataan 'spin doctor', 'doctor putar'. Dulu zaman saya takda 'spin doctor', doctor betul adalah. Tapi sekarang ada 'spin doctor' bagaimana nak 'putar' satu laporan. Inilah yang diusahakan oleh Kalimullah ini.
Mengenai bukan Melayu menguasai NST:
Pegawai-pegawai Melayu dalam NST semua dibuang. Diganti dengan...Brendan Periera. Itu Melayulah. Dan apa nama, tiga empat orang lagi, yang dulu kecam Malaysia apabila kerja di Singapura, sekarang ini berkuasa dalam NST...
Saya masih ingat bila kami ambil alih NST pada tahun 1972. Tengku Razaleigh (Hamzah) ditugaskan untuk mengambil NST kerana NST dimiliki oleh Mat Salleh. Dan kami melantik orang-orang Melayu untuk menjadi editor dan sebagainya. Sekarang semua orang Melayu dibuang dan 'Melayu baru' macam Brendan Periera diberi kuasa...Dia membuat cerita (seolah-olah) untuk memburukkan nama saya. Saya tak sangka NST yang kita beli dulu, tiba-tiba diguna untuk menghentam saya.
Mengenai Presiden Umno sebelum ini dipaksa undur diri:
Kini, saya dituduh untuk memecahbelah Umno. Ininya, dalam Umno, instituisi presiden tak boleh ditegur sama sekali. Boleh tegur yang lain, jangan presiden. Saya tidak tahu ini tradisi Umno atau tidak...Kerana dua presiden Umno, sekurang-kurangnya, telah dipaksa undur diri, kerana pendapat mereka tidak secucuk dengan Umno...Ini telah menunjukkan bahawa presiden Umno, bukanlah malaikat sampai kata tak boleh tegur, tak boleh kata apa.
Mengenai penasihat Pak Lah:
Saya angkat seorang menjadi penganti saya. Saya tak angkat keluarganya jadi penganti saya. Tiba-tiba saya dapati bukan sahaja keluarga jadi Perdana Menteri, lama-lama, kawan-kawan pun sudah dapat tempat pada Tingkat Empat di bangunan (Jabatan) Perdana Menteri. Jadi lebih berkuasa daripada Perdana Menteri. Ini bukan dilantik oleh saya, bukan saya pilih.
Mengenai proksi Pak Lah:
'Jangan sentuh. Kalau nak marahkan Khairy tak apa. Jangan sentuh Pak Lah. Bukanlah Khairy boleh cakap kalau Pak Lah tak benar. Nazri pun sama juga (disambut gelak ketawa hadiri)...Saya tahu Nazri. Kata "Boo!" dia lari masuk lubang (disambut gelak ketawa hadiri).
Mengenai hilang kawan-kawan lama:
Mereka anggap saya sebagai musuh. Tidak lagi kawan-kawan saya dalam Kabinet sanggup bertemu dengan saya. Mereka diberitahu jika bertemu dengan saya mereka akan dimasukkan ke dalam 'black list' (senarai hitam).
Ini kawan saya, setengah-tengahnya bertahun-tahun bersama sama dalam kabinet. Apa salahnya kita ada perjumpaan kadang-kadang, bukanlah nak cakap politik sangat. Nak cakaplah perkara-perkara yang lain... Tiba-tiba putus langsung hubungan.
Mengenai tuduhan bersikap 'anti-Umno':
Saya sayangkan Umno. Saya nak bersihkan Umno. Kita tahu, kita perlu kepada perpaduan dalam Umno. Tetapi perpaduan (sewajarnya) untuk kebaikan...Kerana, apabila kita jadi Perdana Menteri bukanlah boleh buat sesuka hati kita....(apatah lagi) jika kita mempergunakan kuasa Perdana Menteri untuk memperkayakan keluarga kita.
Mengenai pembatalan majlis anjuran Mubarak:
Saya telah terima jemputan dari Mubarak. Dan semasa saya berada di Eropah, saya diberi tahu Mubarak menarik balik jemputan ini kerana 'arahan'. Saya didapati bahawa, satu pangillan telefon sudah sampai dari Perth, Australia supaya Mubarak tidak mengadakan majlis ini.
Tapi ini bukan sahaja Mubarak. Lima lagi majlis yang saya dijemput telah dibatalkan ataupun jemputan itu ditarik balik.,,,Kalau saya berucap dalam majlis itu, sebabnya adalah kerana saya tidak dibenar bercakap dengan orang Umno. Saya orang Umno. Biasa pun jadi presiden Umno lama juga.
Kesimpulannya:
Ini keadaan sekarang. Kalau nak jadi perdana menteri, mestilah menjadi perdana menteri untuk mengurus negara untuk kebaikan rakyat dan negara, dan bukan untuk memperbaikkan nasib anak menantu yang kaya. Berita asal

