Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih sambut baik titah Agong, seru kerjasama k'jaan-pembangkang
Diterbitkan:  Oct 26, 2020 11:07 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyambut baik keputusan Raja-Raja Melayu bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.

Menurut NGO itu, keputusan tersebut juga senada dengan pendapat kebanyakan rakyat Malaysia.

"Rampasan kuasa oleh kerajaan Muhyiddin didorong oleh ketakutan tewas semasa pembentangan Belanjawan.

"Namun proklamasi darurat yang diperuntukkan oleh Perkara 150(1) hanyalah untuk keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam dan hal ini tidak termasuk kelangsungan jawatan Perdana Menteri," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih itu dalam satu kenyataan.

Bersih 2.0 mengingatkan orang ramai bahawa krisis politik ini masih belum berakhir dan menyeru kerajaan serta pembangkang untuk bekerjasama menerusi konsep keyakinan dan pembekalan (confidence and supply - CSA).

Kata Bersih, persetujuan tersebut penting bagi memastikan kestabilan politik tanpa melemahkan kuasa parlimen.

"Cadangan proklamasi darurat untuk mengelakkan tewas semasa undian belanjawan nanti sebagaimana yang didedahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa dan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju secara tidak langsung telah mengakui bahawa perdana menteri telah kehilangan majoriti.

 "Anggota parlimen perlu mempunyai kebebasan untuk tidak mengundi belanjawan dan sekiranya mereka menggunakan kuasa mereka untuk menolak belanjawan kerajaan, ia adalah satu perkara yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan," kata Bersih.

Tambah Bersih, oleh sebab kelulusan belanjawan kerajaan adalah salah satu fungsi utama parlimen dalam sistem Westminster, ahli-ahli parlimen tidak seharusnya membuta tuli meluluskan belanjawan kerajaan.

"Sekiranya belanjawan kerajaan tewas, perdana menteri perlu segera membentangkan dan memastikan usul percaya diluluskan untuk kerajaan beliau.

"Pilihan lain adalah parlimen boleh meluluskan usul percaya kepada anggota Parlimen yang lain untuk menjadi perdana menteri.

"Sekiranya tiada usul percaya yang diluluskan untuk perdana menteri atau anggota Parlimen yang lain, CSA melibatkan semua parti politik yang mewakili majoriti anggota Parlimen diperlukan untuk mengelakkan pilihan raya mengejut," kata Bersih.

Jelas Bersih, CSA akan memberi ruang kepada belanjawan kerajaan untuk ditambahbaik oleh anggota Parlimen pembangkang dan supaya ia menjadi lebih berhemah, berkesan dan inklusif agar tidak ada sektor dan komuniti yang tertinggal dalam perang melawan Covid-19.

"CSA akan menjadi asas untuk menamatkan perseteruan dan komplot politik melalui reformasi yang perlu dilaksanakan seperti reformasi Parlimen, mengadakan pilihan raya, peruntukan saksama kepada semua ahli parliman dan pemisahan kuasa Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara," kata Bersih.

Selain itu, Bersih juga meminta Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak mengganggu proses itu dan bersetuju menerima konsep CSA.


Lihat Komen
ADS