Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mesej tular dakwa menteri Umno gesa bubar parlimen palsu'
Diterbitkan:  Oct 26, 2020 4:25 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Anggota majlis tertinggi Umno, Razlan Rafii menafikan mesej tular yang mengatakan parti itu sedang menuntut pembubaran Parlimen.

Razlan (gambar atas) memberitahu Malaysiakini bahawa mesej itu palsu.

Mesej tular itu merupakan tangkap layar perbualan Whatsapp, di mana Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob didakwa memberitahu pemimpin bahagian bahawa menteri-menteri Umno akan menggesa pembubaran dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Ismail masih belum menjawab pertanyaan Malaysiakini mengenai perkara itu.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz, masing-masing menafikan mengetahui sebarang rencana untuk mendesak pembubaran parlimen.

"Rakyat tidak mahu (parlimen) dibubarkan," kata Khalid kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Nazri berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen.

"Tidak (sekarang bukan masa yang sesuai). Kita mesti berhati-hati. Keutamaan harus diberikan kepada usaha memerangi Covid-19,” tambahnya.

Majlis tertinggi Umno akan bermesyuarat malam ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, setelah berunding dengan raja-raja Melayu yang lain, menolak cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar darurat diisytiharkan.

Baginda juga menegur anggota parlimen agar tidak "politicking" dan meminta mereka untuk tidak melakukan tindakan yang boleh mengancam kestabilan kerajaan.

Cadangan pengisytiharan darurat sebelum ini digambarkan sebagai usaha untuk memerangi Covid-19 yang menyaksikan lonjakan kes selepas pilihan raya negeri Sabah bulan lalu.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa ia sebagai usaha Muhyiddin mempertahankan kedudukannya susulan spekulasi yang mengatakan bahawa dia mungkin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti parlimen dan akan gagal dalam mendapat sokongan yang mencukupi untuk Belanjawan 2021 bulan depan.

Lihat Komen
ADS