Sebutir bom meletup di landasan keretapi di wilayah selatan Thai pagi ini mengakibatkan tiga pegawai polis terbunuh dan seorang lagi cedera beberapa jam selepas kumpulan pemberontak melancarkan lebih 70 serangan bersepadu malam semalam.

Menurut polis, bom tersebut diletupkan di Chana di wilayah Songkhla kira-kira jam 7.15 pagi ketika anggota keselamatan sedang memeriksa landasan tersebut..

"Ini adalah rondaan harian sebelum keretapi berlepas setiap pagi," kata seorang pegawai polis itu.

Seorang tentera yang sedang melakukan rondaan, cedera malam semalam, apabila sebutir bom yang disembunyikan berhampiran sebatang pokok meletup di Narathiwat manakala dua pusat karaoke turut menjadi sasaran.

Menurut polis, lebih 70 serangan keganasan berlaku malam semalam apabila pemberontak memulakan serangan mereka pukul 8 malam di empat wilayah selatan Thailand iaitu Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.

Kumpulan pemberontak turut mensasarkan kediaman pegawai kerajaan, bangunan kerajaan, membakar tayar dan meletakkan cerucuk besi tajam di jalan raya bagi melengahkan pergerakan pasukan keselamatan serta membakar sebuah kilang getah.

Serangan bersepadu

Pegawai menyatakan pasukan keselamatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas mereka menerima maklumat akan berlaku serangan besar-besaran malam semalam.

Menurut laporan Bernama, pada 15 Jun, pemberontak melancarkan hampir 50 serangan bersepadu, membunuh dua orang dan mencederakan lebih 15 orang di wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani.

Serangan serentak pada Jun itu dirancang kebetulan dengan penubuhan Majlis Permusyarakatan Rakyat Melayu Pattani sembilan tahun lepas, yang juga dikenali sebagai sambutan deklarasi kemerdekaan negara Pattani.

Lebih 1,300 orang terbunuh dalam kejadian keganasan di wilayah-wilayah selatan sejak dua tahun lepas.

Pergolakan di wilayah itu meletus semula pada Januari 2004, selepas beberapa dekad militan yang berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan daripada kerajaan pusat, mendiamkan diri.

Bangkok telah mengerahkan lebih 20,000 tentera ke wilayah berkenaan tetapi menghadapi masalah dalam mengesan kumpulan pemberontak itu yang bergerak dengan cara gerila.