Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu bubar parlimen tak disentuh dalam mesyuarat khas kabinet'

Isu pembubaran parlimen langsung tidak dibangkitkan pada mesyuarat khas kabinet hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

“Ia tidak dibangkitkan, tidak dibincangkan,” katanya menjawab soalan pemberita pada sidang media perkembangan terkini perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), di Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Pertahanan itu berkata demikian sebagai menjawab dakwaan kononnya beliau bersama ahli kabinet lain akan mencadangkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar menghadap Yang di-Pertuan Agong,. Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mencadangkan pembubaran parlimen.

Ini susulan tular satu tangkap layar perbualan dalam satu kumpulan yang menunjukkan kononnya Ismail Sabri memaklumkan ketua-ketua bahagian Umno bahawa dia dan rakan lain dalam kabinet akan mencadangkan pembubaran parlimen hari ini.

Terdahulu Muhyiddin mengadakan mesyuarat khas lebih dua jam bersama jemaah menteri di Perdana Putra, Putrajaya, menyusuli titah Al-Sultan Abdullah semalam bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Ismail Sabri berkata sebelum ini juga pernah terjadi isu apabila kenyataannya berhubung kebenaran rakyat Singapura memasuki Malaysia disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kekeliruan.

Sehubungan itu Ismail Sabri meminta orang ramai menyemak kesahihan sesuatu berita yang diterima sebelum mempercayainya.

Sementara itu, ahli parlimen Bera itu berkata individu yang didapati menyalahgunakan surat kebenaran majikan atau pas pekerja boleh dikenakan tindakan tegas oleh pihak polis.

Dia berkata surat itu adalah untuk tujuan bekerja bagi individu yang perlu bekerja di pejabat serta memudahkan mereka melepasi sekatan jalan raya.

“Surat tersebut bukan untuk tujuan peribadi tanpa alasan munasabah seperti keluar pada hujung minggu.

"Polis telah bersetuju untuk mewujudkan laluan khas kepada pekerja yang mempunyai pas pekerja atau surat kebenaran majikan supaya mereka tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

“Barisan hadapan juga diberi laluan khas. Malah kenderaan mengangkut barangan untuk membawa produk berkaitan perkilangan turut disediakan laluan khas,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan polis mengesan tindakan segelintir individu menyalahgunakan surat kebenaran majikan untuk bergerak tanpa alasan munasabah pada hujung minggu sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat yang berkuat kuasa sejak 14 Okt lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS