Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sistem kesihatan di Sabah tak lumpuh, kata Noor Hisham
Diterbitkan:  Oct 26, 2020 8:28 PM
Dikemaskini: 12:28 PM

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, menafikan sistem kesihatan di Sabah kini lumpuh ketika kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan di negeri itu.

Katanya, setakat ini sistem kesihatan di Sabah masih mempunyai kemampuan menangani wabak tersebut.

"Saya tak pasti mengapa orang ramai suka kepada persepsi negatif apabila fakta menunjukkan sebaliknya.

"Ini adalah maklumat terkini yang kami dapat dan kita berharap ia akan meningkatkan aktiviti intervensi kesihatan awam di Sabah," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Menurut Noor Hisham, walaupun jumlah kes harian baru di negeri itu masih tinggi, pada masa sama ramai orang yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

Katanya ketika ini hanya 52 peratus katil hospital di seluruh Sabah digunakan, manakala di pusat kuarantin pula, kadarnya hanya 28 peratus.

Sebagai contoh, katanya, ada 1,240 kes positif baru hari ini tetapi 508 daripadanya adalah melibatkan penjara yang memiliki pusat kuarantin sendiri.

Dia juga menegaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mempertimbang cadangan meletakkan pesakit Covid-19 di rumah jika berlaku kekurangan katil di hospital atau pusat kuarantin.

"Setakat ini, ia bukan dasar KKM lagi," katanya.

Noor Hisham juga berkata 25 hospital di negeri itu kini berfungsi dengan baik, dan tiada masalah kekurangan katil atau kekurangan unit rawatan rapi (ICU).

"Jangan keluarkan fakta tidak betul. Rujuk media sosial rasmi KKM," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS