Lebih 50 bahan hasil kerja berbentuk lukisan, coretan, surat dan kad ucapan membabitkan enam aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting, akan dipamerkan di pejabat Keadilan Gombak, mulai 14 November ini.

Pameran itu adalah anjuran Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA dengan kerjasama parti Keadilan bahagian Gombak.

Menurut penyelaras program itu, kartunis Zunar, surat-surat yang dipamerkan itu termasuklah yang diutuskan oleh tahanan kepada keluarga mereka, daripada keluarga kepada tahanan dan surat sesama tahanan.

Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib, Dr Badrul Amin Bahron, Lokman Noor Adam dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais dikenakan tahanan dua tahun di Kemunting sejak sejak 2 Jun lalu.

Bagaimanapun, seorang daripadanya, Dr Badrul, dibebaskan pada 3 November lalu selepas 197 hari menjalani tahanan di Kemunting.

Tetapi beliau telah dibuang daerah dengan syarat beliau tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan parti atau terlibat dalam aktiviti politik, tidak menjadi penasihat parti atau memberi ceramah dalam perhimpunan umum

Turut dipamerkan ialah lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh Hishamuddin.

"Diharap pameran ini akan memberi lebih kesedaran kepada orang ramai mengenai keadaan dan perkembangan tahanan tahanan tersebut," kata Zunar kepada malaysiakini , hari ini.

Pameran percuma yang terbuka kepada orang ramai itu dijangka dirasmikan oleh Presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pertandingan melukis

"Turut diadakan semasa majlis perasmian itu ialah pertandingan melukis bertemakan 'kebebasan'," kata Zunar.

Sementara itu, anak Saari Sungib, Anfaal berkata cadangan mengadakan pameran ini sebenarnya datang daripada bapanya.

Dalam perkembangan berkaitan, isteri Saari, Aliza Jaafar berkata kelima-lima tahanan politik itu masih meneruskan boikot mereka terhadap makanan dan layanan yang diterima di kem itu.

Sejak 11 September lalu, sebagai tanda protes, tahanan ISA itu tidak menjamah makanan yang disediakan oleh pihak kem dan hanya memakan makanan yang dibawa keluarga atau makanan kering yang dibeli dari kantin.