Badan Peguam Kuala Lumpur memberi amaran kepada anggotanya untuk mengambil langkah berjaga-jaga ketika memberi perkhidmatan kepada pelanggan atau menguruskan perbicaraan reman di pusat tahanan Jinjang.

Dalam surat pekeliling yang dilihat oleh Malaysiakini,  Badan Peguam Kuala Lumpur diberitahu bahawa dua tertuduh ditahan di pusat tahanan berkenaan pada 19 Oktober diuji positif Covid-19 pada 25 Oktober.

Menurut surat pekeliling itu, prosiding tahanan reman akan diteruskan di pusat reman.

Pusat tahanan, penjara dan depot imigresen sering menjadi lokasi kluster Covid-19 baru-baru ini, terutamanya di Kedah, Sabah dan Pulau Pinang.

Daripada 1,270 kes Covid-19 baru yang dikesan pada tengah hari ini, 508 kes mempunyai kaitan dengan kluster di lokasi seumpamanya.

Pada masa ini, terdapat 9,744 kes Covid-19 yang aktif di negara ini, kebanyakannya di Sabah.