Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nampaknya nasihat Agong tak diendahkan, kata Kit Siang
Diterbitkan:  Oct 27, 2020 9:26 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan keikhlasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk berhenti berpolitik dan menumpukan usaha memerangi gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia.

"Pada malam Ahad, persoalannya adalah sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan penolakan Yang di Pertuan Agong terhadap cadangan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen bagi memerangi gelombang ketiga pandemik Covid-19 di Malaysia.

"Malam semalam, persoalannya bertukar kepada adakah pemerintahan pintu belakang Muhyiddin Yassin ini akan tumbang sekiranya Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menarik keluar Umno daripada kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk melalui plot Langkah Sheraton pada bulan Februari lalu.

"Semua percakapan menggunakan bahasa politik perdamaian dan perpaduan nasional, tetapi tindakan yang dilihat menunjukkan tanda-tanda politik perpecahan dan polarisasi nasional.

"Nampaknya, nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kepada rakyat Malaysia untuk berhenti berpolitik dan menggugat kestabilan kerajaan supaya semua orang, tanpa mengira latar belakang dan ideologi, dapat mengetepikan perbezaan dan perselisihan mereka dan bersatu sebagai satu dalam memerangi wabak Covid-19 dan nasihat Raja-raja Melayu untuk menerjemahkan prinsip-prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen menjadi budaya pentadbiran untuk memastikan keadilan dan membendung sebarang penyalahgunaan kuasa tidak diendahkan," kata Lim.

Lim dalam kenyataannya juga merujuk laporan portal berita yang menyiarkan berita bahawa Sepanyol mengisytiharkan darurat.

Lim berkata situasi Covid-19 di Malaysia walaupun serius adalah tidak sama seperti Sepanyol yang mengisytiharkan darurat selepas 1,156,498 jangkitan dan 35,031 kematian.

"Namun, perbezaan yang paling penting adalah bahawa keadaan darurat di Sepanyol tidak melibatkan penggantungan Parlimen Sepanyol. 

"Malah, Parlimen Sepanyol sendiri akan memutuskan sama ada darurat akan dilanjutkan melebihi 14 hari.

"Bagaimanapun, di Malaysia, tujuan darurat adalah untuk menggantung Parlimen daripada dan bukannya melaksanakan perintah darurat," kata Lim.

Semalam Lim meminta agar parti-parti politik mencapai persetujuan bahawa kerusi parlimen Batu Sapi, yang dikosongkan berikutan kematiannya penyandangnya Liew Vui Keong diberikan kepada calon Warisan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pencalonan bagi pilihan raya kecil Batu Sapi pada 23 November dan hari mengundi pada 5 Disember.

Lihat Komen
ADS