PAS cadang buka peluang orang ramai jadi sukarelawan ke Palestin
PAS akan menghantar satu pasukan peninjau ke Palestin tidak lama lagi bagi melihat dan mendapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi di negara yang bergolak itu.
PAS akan menghantar satu pasukan peninjau ke Palestin tidak lama lagi bagi melihat dan mendapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi di negara yang bergolak itu.
Berikutan itu, parti itu bercadang membuka peluang kepada orang ramai untuk menawar diri sebagai sukarelawan bagi membantu pelarian Palestin selepas pasukan itu pulang nanti.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa ketika mengetua protes terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung isu tersebut di hadapan bangunan pejabat cawacangan badan dunia it di Damansara hari ini.
Protes tersebut disertai oleh 30 ahli parti pembangkang itu. Nasaruddin kemudian memasuki bangunan PBB itu dan menyerahkan memorandum kepada wakilnya di sini.
Menurut laporan Bernama, mereka turut membakar bendera PBB, yang didakwa Nasaruddin sebagai lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu mengikut telunjuk Amerika Syarikat.
Ketika bercakap kepada pemberita, Nasaruddin berkata, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu menghantar gabungan tentera Islam ke Palestin.
Sementara itu, Angkatan Belia Islam (Abim) menggesa OIC menggunakan peruntukan Artikel 8 di bawah Rome Statute untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Gesa OIC guna Artikel 8
Naib Presiden Antarabangsa Abim, Azril Mohd Amin berkata Israel boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan tersebut, antaranya memberhentikan jenayah perang dan menarik balik tenteranya dari wilayah yang diduduki.
Menurutnya, Artikel 8 Rome Statute membenarkan bidangkuasa mahkamah itu untuk menangani kes-kes jenayah perang khususnya apabila ia melibatkan jenayah perang yang terancang.
"Kita melihat Israel telah melakukan jenayah perang terancang dengan menduduki wilayah-wilayah Palestin dan menceroboh Lubnan. Kita juga mengutuk serangan Israel ke atas orang awam yang tidak berdosa," katanya pada sidang akhbar Abim dan Global Peace Malaysia (GPM) serta Kempen Selamatkan Palestin di sini Rabu.
Azril berkata, penubuhan ICC telah disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu pesidangan di Rome, Itali yang diadakan pada 15 Jun hingga 13 Julai 1998.
Sebanyak 100 negara telah menandatangani Artikel 8 dan Israel adalah antara negara yang telah menandatanganinya pada 31 Disember 2000.
Sehubungan itu, Abim menuntut OIC menggunakan peruntukan undang-undang itu untuk memastikan nasib rakyat Palestin dan Lebanon terbela dan menghukum Israel atas kekejamannya melakukan jenayah perang terancang.
Sementara itu, GPM pula sedang bersiap sedia untuk menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, keperluan asas dan perubatan kepada rakyat Palestin dan Lubnan yang kini berhadapan dengan pencerobohan tentera rejim Zionis.
Timbalan Presiden GPM, Nur Anwar Hashim berkata GPM telah menghantar pasukan peninjau awalan seramai empat orang iaitu pada 22 Julai dan 30 Julai untuk melihat dan memberi gambaran sebenar situasi di negara bergolak itu, sebelum bantuan secara besar-besaran disalurkan.
Tabung mangsa konflik
Sehubungan itu, GPM merayu orang ramai untuk menyumbang kepada Tabung Bantuan Mangsa Konflik Asia Barat bagi membolehkan pembelian ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas.
Sumbangan boleh dibuat melalui tiga cara iaitu melalui bantuan wang tunai, cek ataupun kiriman wang ke akaun 564-221-611-602 (Maybank) atas nama Global Peace Malaysia atau ke akaun 14-023-01-002922-4 (Bank Islam) atas nama Tabung Keamanan Sejagat.
Selain itu sumbangan juga boleh disalurkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip GPM untuk sumbangan RM 1, GPM2 (untuk sumbangan RM2), GPM5 (untuk sumbangan RM5) dan GPM10 (untuk sumbangan RM10) dan hantarkan ke 39111.
Bagi yang berminat menghantar sumbangan berupa barangan terutamanya ubat-ubatan, bolehlah mengunjungi GPM di alamat Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur atau menghubungi 03-61888409 atau email di gpmhq@yahoo.com.
Majlis pada hari ini turut melancarkan dokumentari `Visit Palestine' sempena pelancaran Kempen Bersama Selamatkan Palestin yang dianjurkan Abim dan GPM.
Dokumentari itu berkisar mengenai pengalaman seorang aktivis kemanusiaan, Caiomhe Butterly, 24, yang mempertaruhkan nyawanya untuk mempertahankan hak asasi rakyat Palestin selepas berlakunya tragedi penyerangan Israel ke atas bandar Jenin pada April 2002.
Turut dilancarkan ialah buku berjudul Abim dan Perjuangan Umat Palestin hasil tulisan Mohd Rumaizuddin Ghazali.

