Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis buka kertas siasatan isu fitnah KP bomba, bekas IGP

Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang mendakwa Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohammad Hamdan Wahid serta bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan terlibat dalam jenayah tipu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata ia dibuat susulan laporan dibuat Musa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya tengah hari semalam, serta Mohammad Hamdan di IPD Putrajaya pada hari sama.

Kedua-dua mereka mendakwa difitnah individu berkenaan.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan Internet atau telefon untuk menyebar berita palsu," katanya kepada Bernama hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali juga mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada Mohammad Hamdan dan kes tersebut diserahkan kepada IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Tular dalam media sosial dua video masing-masing berdurasi kira-kira tiga dan empat minit memaparkan seorang lelaki mendakwa Musa dan Mohammad Hamdan terlibat kes penipuan termasuk skim cepat kaya.

Dalam pada itu, Musa dalam satu kenyataan berkata beliau membuat laporan itu kerana tuduhan berkenaan berniat jahat untuk menjatuhkan maruah beliau dan Mohammad Hamdan.

“Saya juga telah sertakan beberapa bahan bukti yang membuktikan tuduhan jahat ke atas diri saya adalah tidak benar dan berniat jahat untuk tindakan lanjut pihak polis,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS