Polis buat aduan terhadap laporan Malaysiakini.com
Polis telah membuat aduan berhubung laporan sebuah lamanweb yang mendakwa polis terbabit dalam insiden penyemburan bahan pemedih mata sewaktu ketibaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, Kota Bharu Jumaat lalu.
Polis telah membuat aduan berhubung laporan sebuah lamanweb yang mendakwa polis terbabit dalam insiden penyemburan bahan pemedih mata sewaktu ketibaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, Kota Bharu Jumaat lalu.
Menurut laporan Bernama, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Supt Shafie Ismail membuat aduan itu di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Baharu pada jam 4.25 petang 31 Julai lalu terhadap malaysiakini.com berhubung laporan insiden itu.
Shafie berkata, laporan media on-line itu yang mendakwa bekas anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali disembur bahan pemedih mata oleh anggota unit tindakan polis dalam insiden itu adalah fitnah.
Shafie berkata, aduan yang dibuatnya itu adalah untuk membolehkan polis menyiasat.
Semalam seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang ditahan reman berhubung insiden itu dibebaskan.
Peguambelanya Zainal Abidin Mustafa hari ini berkata anak guamnya itu dibebaskan selepas tempoh tahanan remannya berakhir.
Tindakan susulan
Katanya laporan semalam yang menyebut anak guamnya dibebaskan dengan jaminan polis dan ditahan pasportnya adalah tidak tepat.
Sementara itu, dalam kenyataan kepada Bernama di Kota Bharu hari ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah berkata permohonan untuk membebaskan ahli perniagaan itu dengan jaminan pasport antarabangsanya ditahan polis, tidak dibenarkan oleh mahkamah.
Bagaimanapun, proses penyiasatan terhadap ahli perniagaan itu masih berjalan dan tindakan susulan sedang diambil bagi melengkapkan siasatan selain menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara.
Ahli perniagaan berumur 53 tahun itu ditangkap sepasukan polis di rumahnya di Pasir Tumbuh jam 10 malam, 11 jam selepas insiden itu.
Semalam, beliau juga membuat laporan polis terhadap aduan Ibrahim yang menuduhnya "membuat hal" di lapangan terbang itu.
Ahli perniagaan itu mahu polis menyiasat tuduhan Ibrahim yang menurutnya bermotif untuk mencemarkan imejnya memandangkan beliau mempunyai bukti Ibrahim mengetahui orang yang bertanggungjawab berdasarkan ucapan yang dibuatnya sebaik insiden itu berlaku.
Nota Pengarang: Berita awal (newsflash) yang disiarkan dalam malaysiakini mengenai kejadian tersebut yang menyebut kemungkinan pihak polis terbabit, adalah berpunca daripada kekeliruan di tempat kejadian di mana timbulkan pelbagai versi yang bercanggah mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku
Berita awal tersebut berasaskan kepada wartawan kami yang berada di lapangan terbang Pengkalan Chepa di mana beliau menghantar berital awalnya yang menyebut bahawa Datuk Ibrahim Ali yang kena serang, bukannya Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini disebabkan berlakunya keadaan kecoh di kalangan kira-kira 1,000 orang penyokong yang berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Dr Mahathir.
Malaysiakini juga telah berusaha untuk menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan sebanyak beberapa kali bagi mendapatkan komennya tetapi panggilan telefon tersebut tidak berjawab.
Bagaimanapun, laporan tersebut telah diperbetulkan sejam kemudiannya apabila keadaan menjadi semakin jelas dan bahagian yang menyebut mengenai kemungkinan pembabitan pihak polis itu, telah dibuang daripada laporan berkenaan. Malaysiakini kesal dengan kesilapan tersebut.

