Malaysiakini
BERITA

Kakitangan pejabat Air Selangor Kuala Langat positif Covid-19

Bernama

Diterbitkan

Pejabat Air Selangor Wilayah Kuala Langat ditutup sementara sehingga dimaklumkan kelak susulan terdapat satu kes positif Covid-19 yang dikesan melibatkan warga kerja di bahagian kaunter pejabat berkenaan.

Menurut Air Selangor dalam kenyataan hari ini, warga kerja berkenaan menjalani kuarantin sejak 22 Okt lepas dan disahkan positif pada jam 4.30 petang tadi.

“Justeru, Pejabat Wilayah Kuala Langat akan ditutup sementara sehingga dimaklumkan kelak.

"Air Selangor sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan semua tindakan mencegah penyebaran pandemik Covid-19 dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan, Air Selangor melakukan tindakan sewajarnya termasuk mengesan kontak rapat mana-mana warga kerja dan pelawat yang berurusan secara terus dengan warga kerja berkenaan dari 19 Okt hingga 22 Okt lepas.

“Individu tersebut akan dihubungi dengan segera dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari serta mendapatkan bantuan perubatan (ujian saringan Covid-19).

“Pejabat Wilayah Kuala Langat juga telah disanitasi sepenuhnya pada 5.30 petang tadi,” menurut kenyataan itu.

Keselamatan kakitangan dan para pelanggan adalah keutamaan kami di Air Selangor dan sebarang informasi terkini akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi Air Selangor, katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan