Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PKR harus ikut proses mahkamah, tak perlu politikkan saman RM10j'

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menggesa PKR agar tidak mempolitikkan saman RM10 juta terhadapnya susulan penyertaannya dalam Bersatu.

Ia selepas peguam utama PKR William Leong memaklumkan pihak plaintif belum dapat menyerahkan writ saman kepadanya selepas hampir sebulan ia difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Zuraida yang merupakan bekas naib presiden PKR berkata parti itu dan pasukan perundangannya sepatutnya menangani perkara itu di mahkamah.

"Ini adalah proses undang-undang berdasarkan peraturan mahkamah. Kami menasihati kedua-dua pihak untuk mematuhi peraturan mahkamah dalam proses ini, bukannya mengeluarkan kenyataan media.

"Ada lebih banyak perkara penting yang memerlukan perhatian awam. Tindakan undang-undang antara parti dan bekas ahlinya bukan untuk perhatian awam dan hanyalah politiking," katanya menerusi Whatsapp kepada Malaysiakini.

Semalam, Bernama melaporkan Leong berkata pihaknya belum dapat menyerahkan writ saman kepada Zuraida di kedua-dua alamat kediaman dan pejabat menteri itu.

“Kami dalam proses membuat janji temu untuk dia menerima saman berkenaan. Pengurusan kes akan datang adalah untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada mahkamah berhubung kes ini serta mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.

PKR juga telah menghantar permintaan menerusi surat berdaftar agar Zuraida melantik peguam untuk menerima writ itu bagi pihaknya.

Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti itu pada 2 Oktober, atas dakwaan Zuraida telah menandatangani bon pada 25 April 2018 yang menyatakan dia perlu membayar RM10 juta kepada PKR jika meninggalkan parti selepas bertanding dalam pilihan raya menggunakan tiket parti.

PKR juga mendakwa Zuraida dalam kenyataan bersama-sama 10 lagi ahli Parlimen PKR pada 24 Februari mengumumkan keluar parti tanpa melepaskan kedudukan sebagai ahli Parlimen, dan seterusnya membentuk blok baru dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS