Malaysiakini
BERITA

Penjual ikan bilis didakwa mencuri kenderaan polis

Bernama

Diterbitkan

Seorang penjual ikan bilis didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas enam pertuduhan termasuk menyamar sebagai penjawat awam, mencuri kenderaan polis dan merompak.

Mohamad Azrullah Mohd Rodzi, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan majistret M Kalaiarasi.

Bagi pertuduhan pertama Mohamad Azrullah didakwa mencuri sebuah kereta jenis Honda Civic milik Polis Diraja Malaysia di cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada 9.15 malam, 24 Okt lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Azrullah didakwa mencuri sebuah telefon bimbit jenis Vivo dan sebuah telefon bimbit iPhone 8 Plus daripada Nurul Atieka Mazlan di Kedai Vivo Pokok Sena, Tasek Gelugor pada 10 malam, 24 Okt.

Untuk pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuba merompak Tang Chye Hong di sebuah kedai di Jalan Permatang Manggis, Tasek Gelugor kira-kira jam 10 malam pada 24 Okt.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh turut didakwa menyamar penjawat awam iaitu sebagai pegawai polis bagi tujuan mencuri kenderaan polis, mencuri telefon bimbit dan menangkap mangsa.

Kes itu dikendalikan timbalan pendakwa raya, Aisyah Al Humairah Kamaruzaman, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379, Seksyen 379A, Seksyen 170 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Mohamad Azrullah yang diwakili peguam Muhaimin Hashim memohon supaya dia dirujuk ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental.

Majistret telah membenarkan permohonan peguam untuk tempoh sebulan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,500 berserta tiga orang penjamin bersama syarat tambahan bahawa tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan menetapkan 27 Nov sebutan semula kes.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan