Mesyuarat khas beberapa pemimpin negara-negara Islam sedang berlangsung di Putrajaya untuk membincangkan keganasan yang semakin memuncak di Lebanon dan Palestin.

Manakala Presiden Iran Dr Mahmoud Ahmadinejad tiba di Malaysia jam 8.10 pagi ini untuk turut sama menghadiri mesyuarat tersebut.

Mesyuarat tersebut diadakan atas inisiatif Malaysia selaku pengerusi OIC, untuk mencari jalan penyelesaian krisis Timur Tengah dan memanfaatkan kekuatan negara Islam untuk melihat keamanan di rantau itu.

Isu yang sama turut mendominasi Forum Rantau Asean Ke-13 minggu lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan semua 10 negara anggota dan rakan dialognya mengutuk kekejaman tentera Israel di Palestin dan Lebanon yang telah membunuh beratus-ratus orang awam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mesyuarat Rakan-rakan Pengerusi Persidangan Sidang Kemuncak Islam Ke-10 itu dihadiri beberapa ketua negara dan kerajaan dan Menteri-menteri Luar 18 negara anggota yang mengesahkan kehadiran di mesyuarat itu.

Selain Malaysia, negara lain yang menyertai mesyuarat itu ialah Azerbaijan, Bangladesh, Brunei, Mesir, Indonesia, Iran, Jordan, Lebanon, Palestin, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Senegal, Syria, Turki, Emiriah Arab Bersatu dan Yemen.

Deklarasi kutuk Israel

Mesyuarat it juga dijangka mengeluarkan deklarasi mengutuk serangan Israel di Lebanon dan menggesa supaya dikuatkuasakan segera gencatan senjata tanpa syarat.

Selain itu, mereka juga dijangka mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya memasukkan bersama negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sekiranya badan dunia memutuskan untuk menghantar pasukan pengaman ke Lebanon.

Menurut laporan Bernama, ia juga dijangka menggesa PBB dan masyarakat antarabangsa memastikan penyelarasan dengan betul bantuan kemanusiaan dari negara anggota OIC ke Lebanon dan Palestin.

Ketua-ketua negara atau kerajaan OIC dan Menteri-menteri Luar dijadual menghadiri jamuan tengah hari anjuran Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyambung mesyuarat selepas itu.

Sebelum mesyuarat itu, Abdullah mengunjungi Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, juga di hotel yang sama.