Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beban hutang Felda RM10.6 bilion, pulih pada 2023
Diterbitkan:  Oct 28, 2020 9:16 PM
Dikemaskini: 4:07 PM

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memiliki struktur modal yang tidak mapan dan bebanan hutang yang tinggi berjumlah RM10.6 bilion.

Ini antara masalah serius dihadapi agensi berkenaan yang dikenal pasti pasukan petugas khas bagi menangani isu Felda, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed.

Pasukan petugas khas itu diterajui Abdul Wahid Omar dan pengerusi Felda Idris Jusoh turut terlibat.

Kata Mustapa, keadaan ini berpunca daripada sumber pendapatan Felda yang berkurangan terutamanya penerimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).

"Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh Felda," jelasnya.

Menurut Mustapa laporan pasukan petugas khas itu telah dibentang kepada kabinet pada 14 Oktober lalu.

Antara cadangan yang diterima oleh kabinet, katanya ialah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan, meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang Felda dengan menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan meningkatkan daya berdikari peneroka.

"Jemaah menteri telah meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan Felda yang dikemukakan.

"Kedudukan kewangan Felda juga dijangka mencatat aliran positif bermula tahun 2023 dengan pelaksanaan inisiatif berkenaan. Felda akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang dihormati dan berdaya maju.

"Penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh Felda tidak akan lengkap tanpa pengukuhan tadbir urus serta kecekapan dalam menguruskan ladang.

"Sehubungan itu, Lembaga Pengarah serta pengurusan Felda hendaklah komited meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambahbaik tadbir urus," katanya lagi.

Mustapa menegaskan inisiatif ini akan dipantau dengan teliti oleh jawatankuasa pengawas yang melapor terus kepada perdana menteri.

Lihat Komen
ADS