Setiap negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu memainkan peranan proaktif dalam menyelesaikan konflik di Lebanon dan mesti sanggup menyertai pasukan pengaman tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang juga Pengerusi OIC berkata, pertubuhan mahu turut menyumbang kepada proses mewujudkan keamanan di Lebanon selepas adanya gencatan senjata.

"Malaysia sedia berbuat demikian," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat khas OIC di Putrajaya bagi membincangkan konflik di Lebanon.

Menurut laporan Bernama, Abdullah juga meminta anggota OIC membantu membina semula Lebanon dan Palestin, selain menangani kesengsaraan yang dihadapi penduduk di kawasan terlibat.

Katanya, media Barat lebih mengutamakan berita mengenai Israel dengan menyiarkan gambar penduduk negara itu terpaksa meninggalkan rumah mereka atau mencari pelindungan akibat serangan Hizbullah.

Timbul kebencian

"Dunia perlu lihat sendiri kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Israel di Lebanon dan Palestin, kerana ramai kanak-kanak telah mati, cedera atau kehilangan tempat tinggal," kata Abdullah.

Israel, katanya, perlu disedarkan bahawa tindakan mereka akan hanya menyebabkan kebencian dan kemarahan semakin memuncak.

Dalam ucapannya pula, Perdana Menteri Bangladesh Begum Khalida Zia, berkata keamanan secara menyeluruh boleh diwujudkan di Timur Tengah jika PBB dapat menjamin Palestin menjadi sebuah negara bebas dan berdaulat.

Beliau mencadangkan agar satu pasukan tentera antarabangsa dikerahkan ke sempadan Israel-Lebanon bagi menstabilkan keadaan.

Begum Khalida berharap PBB menganjurkan satu persidangan bagi mencari jalan memulihkan ekonomi dan infrastruktur Lebanon serta menguatkan lagi kedudukan kerajaan negara itu.