Isu Dr M tidak dibincang dalam mesyuarat Umno
Sebanyak 191 bahagian Umno yang mula bermesyuarat hari ini sehingga 10 September depan, dijangka membuat ikrar taat setia dan memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi.
Sebanyak 191 bahagian Umno yang mula bermesyuarat hari ini sehingga 10 September depan, dijangka membuat ikrar taat setia dan memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi.
Sehubungan itu, para perwakilan di mesyuarat bahagian dijangka tidak akan menyentuh isu-isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengenai pembatalan projek jambatan, pemberian permit import (AP) dan penjualan MV Agusta.
Beberapa ketua bahagian Umno yang dihubungi Tinjauan
malaysiakini
berkata, isu-isu berkenaan tidak menarik minat ahli-ahli Umno, terutamanya di peringkat kampung.
Ketua Umno Bahagian Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakub berkata, ahli-ahli parti di bahagiannya tidak berminat untuk memperkatakan isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu.
"Orang kampung dan peneroka tidak begitu menghiraukan isu-isu tersebut kerana bagi mereka yang paling penting ialah makan minum dan pekerjaan harian mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ismail berkata, isu Dr Mahathir hanya hangat diperkatakan di ibu negara dan bukan di kawasan pedalaman seperti Bera yang sebahagian ahli-ahli Umno adalah peneroka getah dan kelapa sawit.
Elak pecah belah
Menurutnya, semasa majlis penerangan dan dialog anjuran Umno bahagian yang dihadiri oleh ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Noh Omar baru-baru ini, tiada seorangpun bertanyakan isu-isu tersebut.
Umno Bahagian Bera akan mengadakan mesyuarat bahagian pada 11 Ogos dan menjemput Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merasmikannya.
Ketua Umno bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir juga menyatakan isu-isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri itu tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat bahagiannya.
"Kita tidak mahu membesar-besarkan lagi perkara yang boleh memecahbelahkan orang Melayu. Tak perlu bising-bising lagi tentang perbezaan pendapat antara Tun Dr. Mahathir dengan Pak Lah ini, ia merugikan orang Melayu," ujarnya.
Sebaliknya kata beliau, Umno bahagiannya lebih memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan masa depan orang Melayu Pulau Pinang.
Mesyuarat Umno bahagian Bukit Mertajam akan diadakan pada 27 Ogos ini dengan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Latif Ahmad.
Sokongan padu
Sementara itu, Naib Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Che Johan Che Pa pula berkata, isu Dr Mahathir mungkin akan disentuh secara sepintas lalu sahaja dalam mesyuarat bahagian berkenaan.
Katanya, ahli-ahli Umno Pasir Mas tidak ghairah dengan isu-isu nasional ini, lebih-lebih lagi mereka tidak begitu faham tentang isu 'Jambatan Bengkok' dan MV Agusta yang rumit itu.
"Mungkin ada ahli-ahli yang akan membangkitkannya secara kecil-kecilan tetapi isu-isu berkenaan bukanlah perkara besar di bahagian ini,"ujarnya.
Katanya, ahli-ahli di akar umbi lebih mengingati tindakan Tun Dr Mahathir menukar bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik kepada Bahasa Inggeris daripada isu permit import (AP) kereta, Jambatan Bengkok dan penjualan MV Agusta yang tidak menyentuh kehidupan harian mereka.
Beliau juga mengaskan, ahli-ahlli Umno Pasirt Mas tetap memberi sokongan padu kepada Abdullah sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri dan pada masa yang sama menghormati Tun Dr Mahathir sebagai negarawan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.