Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM: Semua sekolah di zon merah di Kuching ditutup hingga 13 Nov
Diterbitkan:  Oct 29, 2020 11:02 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Kementerian Pendidikan memaklumkan semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di Kuching, Sarawak akan ditutup bermula esok sehingga 13 Nov berikutan penularan Covid-19.

Penutupan itu melibatkan 209 institusi pendidikan merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, institusi pendidikan guru, kolej matrikulasi serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Kuching mencatatkan 80 kes aktif Covid-19 setakat semalam, dengan 69 kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari lalu.

Menurut KPM, semua sekolah dan institusi pendidikan yang mempunyai asrama juga diarahkan tutup.

"Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang. Walau bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah atau institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah atau institusi pendidikan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa, mereka perlu mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Menurut KPM, sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah memastikan guru, tenaga pengajar serta pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

"Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

"Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah dan institusi pendidikan akan dibuat dari semasa ke semasa," katanya.

Lihat Komen
ADS