Pemimpin pelajar pertikai fungsi MPPK
Pemimpin-pemimpin pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mempertikaikan peranan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Malaysia (MPPK) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"MPPK tidak komited dalam menyelesaikan isu-isu yang dibentang dan dibahaskan serta tidak bersungguh-sungguh dalam tindakannya," kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh pemimpin pelajar empat universiti tempatan - Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa.
"MPPK mengabaikan matlamat asal penubuhannya iaitu memantau serta membantu menyelesaikan isu-isu kemahasiswaan seperti penangkapan mahasiswa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Polis dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)," kata mereka lagi.
Majlis itu juga didakwa gagal menyelesaikan isu berkaitan kebajikan pelajar, terutama dalam isu Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Mesyuarat
MPPK ditubuhkan April tahun ini dan dianggotai wakil majlis atau persatuan perwakilan pelajar universiti awam dan swasta tempatan. Ia berperanan sebagai pengantara dan meja rundingan antara perwakilan pelajar dan kerajaan.
Menurut kenyataan itu, setakat ini mesyuarat majlis perundingan hanya diadakan sekali saja, sedangkan ia sepatutnya mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya setiap tiga bulan seperti yang dijanjikan.
"Kami mewakili sebahagian besar pimpinan mahasiswa IPT awam dan swasta mendesak kepada beliau (Datuk Seri Abdullah) supaya diadakan mesyuarat MPPK dalam waktu terdekat," kata kenyataan itu lagi.
Mereka juga mendakwa risalah MPPK juga tidak diterbitkan seperti yang dijanjikan dan ini menunjukkan pihak yang bertanggungjawab menubuhkan majlis rundingan itu tidak serius.
Selain itu menurut kenyataan itu lagi, sekretariat MPPK juga gagal membekalkan minit mesyuarat pertama kepada ahli-ahli yang menghadirinya di Putrajaya, April lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.