Supt Shafie: Polis mula siasatan terhadap Malaysiakini
Polis telah memulakan siasatan terhadap lamanweb malaysiakini berhubung laporan yang mendakwa polis terbabit dalam insiden semburan pemedih mata ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu.
Polis telah memulakan siasatan terhadap lamanweb malaysiakini berhubung laporan yang mendakwa polis terbabit dalam insiden semburan pemedih mata ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu.
Menurut laporan Bernama, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Supt Shafie Ismail berkata, polis turut mendapat bantuan pakar teknologi maklumat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk membantu siasatan.
"Kita perlukan khidmat pakar teknologi ini untuk mengesan mereka yang terlibat dalam penghasilan laporan yang disifatkan sebagai memfitnah polis," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.
Beliau berkata, laporan media
on-line
itu yang menyiarkan artikel bahawa bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali disembur bahan pemedih mata oleh anggota unit tindakan polis dalam insiden di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa adalah satu fitnah.
Shafie membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bahru pada jam 4.25 petang 31 Julai lalu bagi membolehkan polis menyiasat dakwaan media on-line itu.
Selasa lalu, polis membebaskan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang ditahan untuk membantu siasatan berhubung insiden itu.
Dr Mahathir tiba di Kelantan pagi Jumaat lalu untuk menghadiri beberapa program sempena lawatan sehari beliau ke negeri ini.
Penjelasan
Sementara itu, Ketua Pengarang
malaysiakini
, Steven Gan berkata laporan tersebut merupakan laporan awal (newsflash) yang dihantar oleh wartawan malaysiakini yang berada di tempat kejadian.
Katanya, laporan awal itu, pada mulanya, menyebut kemungkinan pihak polis terbabit ekoran kekeliruan di tempat kejadian di mana timbul versi-versi yang berbeza mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
Sebaik sahaja kekecohan berlaku, Gan berkata, wartawan terbabit ternampak Dr Mahathir dibawa secara tergesa-gesa ke dalam sebuah kereta berwarna hitam oleh, antaranya, lelaki-lelaki yang berpakaian jaket hitam.
Lelaki-lelaki berkenaan kemudiannya disahkan sebagai anggota tentera dan bukannya anggota polis.
Menurut Gan lagi, , malaysiakini juga telah berusaha untuk menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan sebanyak beberapa kali bagi mendapatkan komennya tetapi panggilan tersebut tidak berjawab.
Laporan tersebut, katanya, telah diperbetulkan sejam kemudiannya apabila mengetahui keadaan sebenarnya dan bahagian yang menyebut mengenai kemungkinan polis terbabit itu, telah dibuang dari laporan tersbut.
"Malaysiakini kesal dengan kesilapan tersebut," kata Gan.
Malaysiakini juga telah menyiarkan penjelasannya mengenai perkara tersebut semalam.

