Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tolak syor Rais cadang semula darurat kepada Agong

Umno menolak syor Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim supaya kerajaan mencadangkan sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan darurat.

Seorang anggota majlis tertinggi (MT) Umno yang enggan namanya disiarkan berkata, usaha mendapatkan pengisytiharan darurat sekali lagi adalah tidak selaras dengan pendirian parti itu.

"Tindakan Speaker Dewan Negara Rais Yatim yang meminta kerajaan meneruskan cadangan darurat adalah satu tindakan yang tidak mementingkan rakyat.

"MT tegas untuk menolak mana-mana tindakan yang akan menjejaskan keselamatan rakyat dan patuh kepada titah Duli Yang Maha Mulia," kata pemimpin berkenaan.

Semalam Rais dalam satu laporan yang disiarkan Utusan Malaysia mengesyorkan agar pelaksanaan darurat di kawasan terlibat kes Covid-19 dicadangkan sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Rais berkata, sangat mustahak untuk rakyat menghormati keputusan Seri Paduka yang menolak cadangan tersebut tetapi penting juga untuk mengasingkan antara isu kesihatan dan politik.

“Dengan keadaan pandemik Covid-19 yang meningkat serta situasi ekonomi rakyat yang terhimpit, amat wajar kiranya pihak berkuasa menyembah jelaskan kepada Seri Paduka sekali lagi agar menerima apa-apa fakta tambahan daripada pihak berkuasa.

“Rakyat harus menghormati titah Seri Paduka tempoh hari, bagaimanapun kehendak Perkara 40 itu perlu dipatuhi walaupun bersyarat. Moga langkah-langkah wajar kerajaan dalam konteks pentadbiran darurat tidak disalahertikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang diPertuan Agong mesti bertindak atas nasihat kabinet kecuali jika diperuntukkan oleh perlembagaan.

Rais mengatakan perkara itu jelas dan tidak memerlukan "interpretasi yang bukan-bukan".

Bagaimanapun pengkritik berkata Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan harus dibaca bersama dengan Perkara 150 (1) yang mengatakan Agong harus berpuas hati bahawa ada keperluan untuk meminta darurat.

Semalam presiden Umno, Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata "Umno tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan Raja-raja dan kepentingan rakyat."

Ditanya apakah 'tindakan tegas' berkenan, sumber tersebut menjawab: "Ada banyak option kalau kerajaan tidak menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia".

Umno sebelum ini mempertimbangkan untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional susulan hubungan yang tegang dalam gabungan itu.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi meminta darurat diisytiharkan, yang dikatakan bagi menangani wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pembangkang berpendapat langkah itu bertujuan mengelakkan kerajaan tewas dalam undi Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di parlimen bulan depan. 

Pada masa ini Muhyiddin mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat dan sekiranya Belanjawan gagal diluluskan, keadaan itu boleh menyebabkan kerajaan tumbang dan pilihan raya mengejut diadakan.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa sebelum ini memberi bayangan bahawa darurat adalah jalan terbaik untuk mengelakkan PRU ketika wabak Covid-19 sedang melanda negara.

Lihat Komen
ADS