mk-logo
Berita
Duta AS 'sangat tidak setuju' dengan Dr M
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 3:54 PM
Dikemaskini: 3:38 PM

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir berkata dia "sangat tidak setuju" dengan kenyataan kontroversi Dr Mahathir Mohamad mengenai isu yang berlaku di Perancis.

Dalam kenyataan ringkas dua peranggan, Kamala mengucapkan takziah kepada negara berkenaan dan keluarga mangsa keganasan di Nice dan Paris.

"Saya sangat tidak setuju dengan kenyataan Mahathir baru-baru ini. Kebebasan bersuara adalah hak, menyeru keganasan tidak," kata Kamala.

Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur pula dalam satu hantaran Facebook berkata, pihaknya kecewa dengan pemilihan kata-kata Mahathir.

"Apa yang patut dibuat pada masa ini adalah solidariti dengan mangsa keganasan. Jerman berkongsi kedukaan dengan rakan rapatnya, Perancis," kata kedutaan itu.

Mahathir, yang terkenal dengan kata-katanya yang sinis mencetuskan kecaman antarabangsa semalam berhubung dakwaannya bahawa umat Islam mempunyai "hak untuk marah dan membunuh berjuta-juta orang Perancis kerana pembunuhan di masa lalu".

Penyokong bekas perdana menteri itu mendakwa kenyataannya harus difahami berdasarkan konteks dan Mahathir mengatakan bahawa kebanyakan orang Islam tidak menerapkan perbuatan 'jahat dibalas jahat' dan mesej utamanya adalah Perancis harus mengajar rakyatnya menghormati orang lain.

Hari ini Mahathir juga berkata bahagian kenyataannya diputar belit dan dilihat di luar konteks keseluruhan pandangannya.

Awal bulan ini, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan hasratnya memerangi "pemisah Islamis" yang digambarkan sebagai "krisis di seluruh dunia".

Komen ini mencetuskan tunjuk perasaan di dunia Islam terutamanya apabila Macron menyalahkan masyarakat Islam secara keseluruhan atas tindakan segelintir individu.

Dua minggu kemudian, seorang guru di Perancis dikelar selepas menunjukkan karikatur Nabi Muhammad kepada anak muridnya.

Semalam, seorang lelaki bersenjatakan pisau membunuh tiga orang awam di sebuah gereja di Perancis. 

Kedua-dua kejadian tersebut dipercayai saling berkaitan.

Sementara itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mendesak Mahathir mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya.

Pengarah eksekutif CIJ, Wathshlah G Naidu berkata kebebasan bersuara mempunyai hadnya dan beberapa perjanjian antarabangsa, termasuk Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, melarang hasutan untuk mendiskriminasi.

Walaupun Mahathir mengatakan sebahagian besar umat Islam tidak menerapkan "jahat dibalas jahat", Wathslah berkata kenyataan seumpama itu masih tidak berasas.

"Ini masih tidak memberikan pembelaan kepadanya atau membenarkan pendiriannya bahawa kita mempunyai 'hak untuk membunuh'.

"Hak untuk hidup adalah hak yang tidak boleh ditolak," katanya.

Lihat Komen
ADS