Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian: Ketua isi rumah wanita antara paling rentan pasca PKP
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 4:29 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Sejak Covid-19 melanda negara, ketua isi rumah wanita antara pihak paling terkesan. Namun kini, keadaan mereka kian pulih selepas pembukaan beberapa sektor ekonomi.

Hal ini berdasarkan kajian fasa kedua yang dijalankan oleh agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Unicef dan UNFPA, hasil dari tinjauan pada kehidupan keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur yang semakin pulih.

Kajian dilakukan di antara bulan akhir perintah kawalan pergerakan (PKP) hingga September lalu, bagaimanapun dapatan kajian turut menunjukkan pemulihan golongan terbabit itu tidak sama rata.

Kajian turut melibatkan 500 ketua isi rumah dari projek perumahan rakyat (PPR) tertentu yang dikendalikan bersama DM Analytics, firma kajian yang diketuai pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid.

Berdasarkan angka, 21 peratus dari 105 ketua isi rumah diketuai wanita, di mana 18 peratus daripadanya adalah ibu tunggal.

Ketika menyampaikan dapatannya menerusi pelancaran maya hari ini, Muhammed mengambil maklum anggaran pendapatan keluarga menurun 10 peratus daripada gaji asal susulan PKP yang dilaksanakan kerajaan pada Mac lalu.

 

“Meskipun median pendapatan telah meningkat 23 peratus di antara Mei hingga Septemberi 2020 ke RM2,233, ia masih menurun 10 peratus berbanding tahun lepas,” katanya.

“Daripada isi rumah yang dikaji, 68 peratus dari ketua isi rumah tidak mempunyai simpanan, yang lebih tinggi daripada 63 peratus yang dicatatkan tahun lalu," katanya.

Muhammed kemudian menyatakan bahawa 93 peratus ketua isi rumah yang mempunyai individu orang kurang upaya (OKU) juga tiada simpanan, diikuti 71 peratus ketua isi rumah wanita di PPR sekitar Kuala Lumpur.

68 peratus isi rumah yang dikaji turut berkongsi bahawa mereka tidak dapat menyimpan kerana jumlah gaji terhad sepanjang tempoh PKP.

Antara lain, Muhammed juga berkata sebahagiannya kerana kadar bekerja sendiri yang tinggi di kalangan ketua isi rumah wanita dan ketua isi rumah yang mempunyai individu OKU, sehingga mengehadkan akses mereka untuk mendapatkan perlindungan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Masalah itu turut terjadi ekoran kurang kesedaran dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah berhubung perlindungan sosial.

Berdasarkan kajian juga, empat daripada 10 yang bekerja tidak mempunyai simpanan di KWSP dan Perkeso dan antara tertinggi adalah di kalangan ketua isi rumah wanita (51 peratus) dan dan ketua isi rumah yang mempunyai OKU (73 peratus).

Pada masa sama, Muhammed berkata dua kategori isi rumah itu juga turut merekodkan kadar tertinggi pengangguran iaitu 60 peratus.

Kesimpulannya, kajian mendapati tekanan kewangan juga memberi impak kepada kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah dengan 9 peratus menunjukkan pelajar sekolah menengah telah berhenti sekolah selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

500 ketua isi rumah turut merangkumi 2,832 isi rumah dan diantarannya 1,155 mempunyai kanak-kanak yang masih bersekolah.

Bagi ibu-bapa, 65 peratus turut berkongsi cabaran untuk membayar bagi memastikan anak mereka ke sekolah, termasuk duit poket dan pengangkutan.

“Kajian kedua turut mengesahkan satu trend dikenalpasti dari kajian pertama yang menunjukkan ketua isi rumah wanita dan ketua isi rumah yang mempunyai individu OKU berkata mereka sukar pulih kembali ekoran impak sosio- ekonomi susulan wabak Covid-19,” menurut laporan.

 

Sementara itu, wakil UNFPA Malaysia Najib Asiffi berkata, agensinya telah mencadangkan langkah yang boleh diambil bagi membantu golongan terbabit, antaranya mewujudkan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk mengurangkan kemiskinan.

“Keutamaan adalah untuk menekankan perkara penting seperti pernyediaan manfaat.

“Ini bermaksud, perlindungan sosial dirancang untuk memenuhi keperluan sosio-ekonomi golongan yang memerlukan ketika krisis negara mahupun peribadi,” katanya.

Untuk perubahan polisi, Najib juga berkata, kerajaan harus melihat semula peruntukan dana supaya ia menyasarkan kepada golongan memerlukan, termasuk wanita yang masih terkesan secara sosial dan ekonomi.

Selain itu, Ketua Dasar Sosial Unicef Malaysia, Stephen Barret turut menambah, keutamaan agensi adalah untuk memperkukuhkan sistem perlindungan sosial.

Penasihat teknikal UNFPA Malaysia Dr Narimah Awin juga berkata, usaha perlu dipertingkatkan untuk meningkatkan kesedaran isi rumah berpendapatan rendah berhubung kepentingan skim perlindungan sosial.

Lihat Komen
ADS