Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2021: Medan ujian sokongan pada Muhyiddin

Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan bermula Isnin ini dengan tumpuan utama kepada pembentangan Belanjawan 2021 yang dijangka lebih 'panas' berikutan perkembangan semasa politik tanah air.

Ia merupakan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas enam bulan membentuk kerajaan Persekutuan.

Turut menarik tumpuan persidangan kali ini ialah usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dibawa oleh beberapa ahli parlimen pembangkang, selain usul menyatakan kepercayaan penuh dan ikrar kesetiaan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri oleh penyokong kerajaan.

Menurut Takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang dijadual dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat akan dibahas ahli-ahli parlimen di peringkat dasar dan jawatankuasa selama lima minggu sebelum pengundian untuk diluluskan.

Belanjawan 2021 bukan sahaja dinanti majoriti rakyat dan industri yang terkesan dengan pandemik Covid-19, namun dilihat menjadi medan menguji sokongan majoriti terhadap perdana menteri.

Situasi ini berlaku selepas keadaan politik negara kembali hangat setelah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada ahli parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baru pada 23 Sept lepas.

Selain itu, sejumlah 16 usul tidak percaya terhadap perdana menteri dihantar ahli parlimen pembangkang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bagi sidang dewan kali ini.

Kehangatan situasi politik negara menjelang persidangan Dewan Rakyat kali ini turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihati ahli Dewan Rakyat supaya menghentikan segera segala perbalahan politik serta memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara yang terkesan oleh Covid-19.

Kenyataan itu hadir selepas Seri Paduka memperhalusi permohonan dipersembahkan perdana menteri bagi pelaksanaan darurat dalam memerangi ancaman wabak Covid-19 dan menitahkan bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Sementara itu, sidang dewan yang akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Dis depan dijangka turut menyaksikan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Rang Undang-undang itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan suruhanjaya bebas dan mempertingkatkan integriti pasukan polis, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis serta menggalakkan keyakinan orang awam terhadap pasukan polis.

Dua lagi Rang Undang-undang yang dijadual untuk bacaan kali kedua ialah Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 yang antara lain memperkenalkan peruntukan baru mewajibkan pengamal perubatan berdaftar mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakitnya dan Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020.

Seperti mana persidangan lepas, sesi Dewan Rakyat kali ini juga akan mengguna pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan mengenai pencegahan Covid-19.

Semua ahli parlimen dan petugas juga telah melalui ujian saringan Covid-19 sebelum sidang dewan bermula.

Ahli parlimen dari Sabah diarah untuk berada di ibu negara 14 hari sebelum sidang bermula bagi menjalani proses kuarantin ekoran peningkatan kes positif Covid-19 di negeri itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS