mk-logo
Berita
Kit Siang cadang Belanjawan 2021 ditangguh, dengar dulu cadangan PH
Diterbitkan:  Oct 31, 2020 2:47 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang meminta kerajaan supaya menangguhkan dulu pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan Jumaat ini bagi mendengar cadangan dari Pakatan Harapan (PH)

Lim mencadangkan agar rang undang-undang perbekalan dibentangkan pada 13 November dan bukannya pada 6 November.

"(Ini bagi membolehkan) Belanjawan 2021 dapat memasukkan cadangan baik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang PH untuk memastikan bahawa Belanjawan 2021 dapat diterima oleh Parlimen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis presiden PH sebelum ini mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin segera memulakan perbincangan dengan pembangkang mengenai Belanjawan 2021, yang dijadualkan untuk dibentangkan pada 6 November.

Majlis itu berpendapat bahawa belanjawan harus menumpukan kepada keperluan petugas barisan hadapan negara, mengenal pasti strategi baru untuk mengembangkan ekonomi dan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan akibat wabak Covid-19.

Walaupun belum ada kenyataan rasmi dari kerajaan, sumber PH mendakwa beberapa wakil pemimpin kerajaan telah mengadakan "perbincangan tidak rasmi" dengan "wakil" pembangkang bagi membincangkan isu berkenaan.

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa beberapa anggota parlimen Umno memilih untuk menentang Belanjawan 2021 bersama-sama dengan pembangkang dalam menunjukkan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Pengkritik mendakwa usaha kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat baru-baru ini bertujuan untuk mengelakkan tewas dalam undian Belanjawan 2021.

Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan itu sebaliknya menasihati anggota parlimen menyokong belanjawan tersebut diluluskan tanpa halangan, demi memerangi Covid-19.

Lihat Komen
ADS