Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri Kewangan jumpa pemimpin PH bincang belanjawan esok

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dikatakan akan berjumpa beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) esok untuk berbincang berhubung Belanjawan 2021.

Ini selepas Majlis Presiden PH menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar mengadakan perbincangan dengan pembangkang berhubung Belanjawan 2021.

"Menteri akan jumpa pemimpin PH pada Ahad ini di Pejabat Kementerian Kewangan, Putrajaya.

"Sebanyak 10 pemimpin dibenarkan menghadiri perbincangan tersebut yang diadakan selama dua jam antara 3 petang hingga 5 petang," kata sumber yang dekat dengan Pejabat Perdana Menteri kepada Malaysiakini.

Jurucakap pejabat Zafrul mengesahkan perjumpaan itu dan memaklumkan bahawa ia sudah mula mengusahakan perjumpaan itu sejak minggu lalu.

Jelasnya, pada Jumaat lalu, Zafrul sudah berjumpa dengan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq dan Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking.

"Perjumpaan ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menghasilkan belanjawan yang komprehensif, dengan mengambil kira cadangan ahli politik daripada semua parti politik," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya menerima jemputan untuk menghadiri perjumpaan berkenaan.

Jelas Saifuddin, PKR menerima surat daripada Kementerian Kewangan yang menjemput empat wakil parti.

Saifuddin juga menambah bahawa dia akan mengetuai delegasi PKR dalam perjumpaan itu esok.

Pada 29 Okt, dalam kenyataan media yang ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, mereka menggesa kerajaan PN mengadakan perbincangan secara rasmi berhubung belanjawan.

Menurut PH, gesaan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Maka perdana menteri harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku," kata Majlis Presiden PH selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR, pada Khamis yang lalu.

Malaysiakini telah menghubungi Tengku Zafrul untuk mendapatkan ulasan.

Sementara itu, seorang ahli parlimen DAP mengesahkan bahawa pemimpin PH akan membuat perbincangan dengan kerajaan PN.

"Ya, kami akan jumpa pada Ahad.

"Setiap parti akan diwakili tiga orang. Salah seorang pemimpin kanan akan mengetuai perbincangan ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut ahli parlimen dari Perak itu perbincangan itu juga adalah bagi menyerahkan cadangan gabungan PH berhubung elanjawan.

"Mereka (kerajaan PN) nak kita sokong bajet. Tapi, bagaimana nak sokong jika ia tidak menyentuh kepentingan rakyat?" soalnya.

"Jadi, kami akan jumpa mereka untuk menekan beberapa isu penting seperti lanjutan moratorium dan sebagainya," tambahnya lagi.

Untuk rekod, pada 28 Oktober lalu, Sultan Abdullah menyeru semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda menyeru agar mereka mengenepikan perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara agar Belanjawan 2021 diluluskan tanpa gangguan.

Lihat Komen
ADS