Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita dilepas dari kuarantin, diuji positif 4 hari kemudian

Seorang wanita yang dikatakan gagal memberitahu pihak berkuasa dia mengalami gejala Covid-19 ketika menjalani kuarantin, telah diuji positif empat hari kemudian.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, siasatan mendapati wanita itu telah menyelesaikan kuarantin 14 hari seperti yang dikehendaki oleh pihak berkuasa di Sarawak setelah dia kembali dari Labuan awal bulan ini.

Kedua-dua ujian swab yang dilakukan ke atasnya pada hari pertama dan hari ke-10 kuarantin telah memberikan hasil negatif Covid-19.

"Seperti biasa akan jalankan ujian hari pertama lepas itu hari kesepuluh ujian ulangan dijalankan dan wanita ini telah dilepaskan pada hari ke-14. (Ujian) pertama negatif, (ujian pada hari) 10 negatif, hari ke-14 dilepaskan.

"Apabila wanita ini (menunjukkan) gejala pada hari 18 dan swab semula positif

"Siasat semula hari ke 11 dah ada gejala tetapi tidak maklumkan, dan dibenar discharge pada hari ke-14.

"Bila gejala lagi teruk pada hari 18 baru datang dan benar swab semula dan positif," kata Dr Noor Hisham pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya mengenai kes berkenaan setelah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak semalam mengklasifikasikannya sebagai kes yang diimport, bukannya jangkitan tempatan di negeri itu.

Menurut kenyataan jawatankuasa itu pada Jumaat, suri rumah itu tiba di Miri dari Labuan pada 10 Oktober ketika dia diberi ujian swab dan diperintahkan untuk menjalani kuarantin yang telah diselesaikannya.

Dia diuji untuk kali ketiga pada 27 Oktober, yang hasilnya kembali positif pada 29 Oktober.

Noor Hisham menjelaskan dalam kebanyakan kes melibatkan warga yang melakukan perjalanan dan didapati positif, mereka diuji virus itu pada hari pertama kuarantin.

Walau bagaimanapun, 25 peratus hanya didapati positif ketika mereka diuji pada hari ke-13, yang merupakan amalan biasa untuk memastikan bahawa setiap orang di bawah kuarantin bebas daripada Covid-19 sebelum mereka dapat dibebaskan.

"Kalau lihat dalam kes pengembara atau pemastautin tetap, hari ini ada laporan, 1,181 kes positif.

"(Daripada jumlah ini) 75 peratus positif hari pertama. 25 peratus positif pada hari ke-13," katanya.

Ketika ditanya mengapa wanita itu diuji pada hari ke-10 dan bukannya pada hari ke-13, Noor Hisham berkaya ada kes di mana ujian swab dilakukan lebih awal kerana masa yang diperlukan suapaya keputusan ujian kembali tepat pada waktunya untuk hari terakhir kuarantin.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS