PM hantar surat kepada Presiden Bush
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat George W Bush, menggesa beliau supaya menggunakan pengaruhnya bagi mengadakan gencatan senjata segera dalam konflik di Lebanon.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat George W Bush, menggesa beliau supaya menggunakan pengaruhnya bagi mengadakan gencatan senjata segera dalam konflik di Lebanon.
"Surat itu akan dihantar esok (Jumaat)," kata Perdana Menteri kepada pemberita sambil menambah, surat itu, antara lain, mengandungi hasil perbincangan mesyuarat semalam, selain pendirian Malaysia mengenai konflik itu.
Ditanya sejauh mana beliau yakin surat itu boleh mempengaruhi pendirian Bush, Abdullah berkata: "Ia bergantung kepada bagaimana anda menulis mesejnya, sejauh mana anda dapat menyakinkan dan sama ada anda bercakap benar. Saya fikir beliau dapat mendengar pandangan kita."
Menurut laporan Bernama, sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dua hala, masing-masing dengan pemimpin Iran, Turki, Bangladesh dan Pakistan, di akhir mesyuarat khas OIC di Putrajaya semalam.
Menurut Abdullah, mesyuarat semalam bukanlah tindakan pertama yang diambil Malaysia dalam menangani konflik keganasan Israel ke atas Lebanon.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan telah mengutus surat mengutuk dan mengecam tindakan rejim Zionis itu kepada semua kuasa besar, termasuk Lima Anggota Tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Setiausaha Agung PBB Kofi Annan.
Sikap berpihak
"Semuanya bersetuju gencatan senjata dilakukan secepat mungkin tetapi seperti yang saya kata tadi, Amerika dan England enggan, tak setuju, itulah yang menyebabkan Israel mengganas dengan begitu kuat sekali. Tambah pula bila Amerika dah berjanji nak bagi 'smart bomb' (menjadikan Israel makin mengganas)," katanya.
Ditanya mengenai pandangan Malaysia terhadap keengganan Amerika menyokong gencatan senjata itu, Abdullah berkata perkara itu adalah sesuatu yang amat dikesalkan.
"Sepatutnya yang kita harapkan supaya Amerika menjadi orang tengah yang akan dapat membantu mengurangkan ketegangan. Tetapi kalau dah US sendiri memilih kepada satu pihak daripada awal sehingga membenarkan Israel melakukan keganasan maka ini adalah suatu yang tidak adil," katanya sambil menambah bahawa itu hanyalah pandangan beliau.
Mengenai kesediaan negara menghantar pasukan pengaman ke wilayah bergolak itu sekiranya berlaku gencatan senjata, Abdullah berkata kerajaan akan menghantar satu batalion yang bersenjata lengkap.
Bagaimanapun, katanya, tugas pasukan itu hanyalah untuk mengawal keamanan bukan terlibat di dalam konflik secara langsung.
"Kita hanya akan masuk apabila keadaan membenarkan kita masuk (ke kawasan konflik)," katanya.
Menurut Abdullah, selain Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam turut menyatakan persetujuan untuk menghantar pasukan pengaman ke Lebanon.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.