UM siasat hantaran Facebook persatuan siswa
Universiti Malaya (UM) akan menjalankan siasatan lanjut berhubung hantaran dimuat naik Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany) di Facebook mengenai institusi diraja di negara ini.
Dalam satu kenyataan, UM menegaskan mereka menjunjung tinggi dan menghormati institusi beraja di negara ini
"Pengurusan tertinggi UM mengutuk sebarang kenyataan yang melanggar prinsip yang menjunjung dan menghormati institusi beraja.
"UM memandang serius mengenai satu hantaran melalui laman Facebook bertajuk 'Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehal negara' yang dimuat naik sebuah badan pelajar berdaftar iaitu Umany.
"Sehubungan itu, UM akan menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini dengan segera," kata kenyataan yang dikeluarkan pejabat Unit Komunikasi Korporat UM hari ini.
Sebelum ini Umany melalui laman Facebook rasmi badan itu memuat naik artikel berkenaan dalam bahasa Inggeris.
Artikel itu dimuat naik susulan kemelut politik negara ketika ini yang menyaksikan beberapa isu berkait dengan Yang di-Pertuan Agong.
Ia termasuklah mengenai jumlah majoriti yang didakwa dimiliki Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat.
Bagaimanapun selepas menerima kecaman, Umany didapati menyahaktifkan akaun Facebook berkenaan.
Sementara itu, UM memaklumkan keputusan hasil siasatan berhubung perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"Pengumuman berkaitan isu ini akan dibuat dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu lagi.

