Kertas kerja mengenai toleransi beragama ditarik balik
Kertas kerja mengenai toleransi beragama di Semenanjung Malaysia ditarik balik pada saat-saat akhir daripada dibentangkan di satu persidangan antarabangsa di Sarawak yang dihadiri oleh 120 ahli akademik dari seluruh dunia.
Kertas kerja mengenai toleransi beragama di Semenanjung Malaysia ditarik balik pada saat-saat akhir daripada dibentangkan di satu persidangan antarabangsa di Sarawak yang dihadiri oleh 120 ahli akademik dari seluruh dunia.
Kertas kerja bertajuk Toleransi Agama: Satu Kes Study di Semenanjung Malaysia, ditulis oleh tiga pensyarah kanan universiti tempatan, termasuk anak kelahiran Sarawak, Prof Dr Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia' (UPM).
Jayum juga merupakan pengarang bersama buku panduan kontroversi UPM mengenai hubungan etnik, yang ditarik balik oleh kabinet selepas dikritik hebat.
Dua lagi penulis kertas kerja tersebut ialah Agus Mohd Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ahmad Fauzi Morad dari UPM.
Seorang peserta yang tidak mahu namanya disebut berkata, beliau telah membaca kertas kerja tersebut dan percayai ia ditarik balik 'lebih disebabkan oleh penulisnya dan bukan kerana kandungannya'.
Arahan JPM?
Sementara itu, Jayun, ketika dihubungi, enggan mengulas mengenainya buat masa ini.
Bagaimanapun, seorang jurucakap persidangan tersebut, memberitahu malaysiakini bahawa bukan pihak penganjurkan yang membuat keputusan untuk menggugurkan kertas kerja tersebut.
"Saya difahamkan dari Jayam dan melalui orang lain bahawa ada arahan daripada Jabatan Perdana Menteri supaya beliau tidak bercakap mengenai subjek (toleransi beragama) ekoran penarikan balik buku kontroversi hubungan etnik," katanya.
Baru-baru ini, kerajaan telah meminta semua pihak, termasuk media, supaya jangan membincangkan isu-isu sensitif seperti mengenai isu kaum dan agama.
Institut Kajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi tuan rumah kepada Seminar Majlis Penyelidikan Borneo (BRC) yang diadakan setiap dua tahun.
Pengarah Eksekutif BRC yang berpejabat di Amerika, Prof Dr Vinson Sutlive memberitahu malaysiakini bahawa kertas kerja yang dibentangkan di persidangan kali ini adalah bermutu tinggi.
Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Abdul Taib Mahmud menjadi tetamu kehormat di majlis makan malam serta merasmikan persidangan itu pada hari Ahad. Berita asal

