Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohd Amar: Kelantan ibarat 'rumah siap', tiada cadangan lantik exco Umno

Kerajaan Kelantan sekali lagi menegaskan tidak akan ada sebarang pelantikan exco baru melibatkan Adun Umno.

Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah berkata, ketika PAS dan Umno memeterai kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada September 2019, kerajaan Kelantan ibarat "rumah yang sudah siap".

Dia berkata, isu lantikan Adun Umno untuk jawatan Exco memang ada dibincangkan tetapi bukan senang untuk mengubah struktur kerajaan sedia ada.

"Ada orang cadang tapi saya bagitahu secara terus-terang. Ada yang bandingkan dengan Kedah dan negeri-negeri lain.

"Kita di Kelantan dan Terengganu ini umpama rumah yang sudah siap, hubungan kita dengan Umno ini berlaku selepas rumah sudah siap.

"Jadi bukan senang untuk kita ubah, rombak dan renovate rumah yang sudah siap. Silap hari bulan ia boleh runtuh. Jadi lebih baik kita tunggu sehingga pilihan raya akan datang," katanya ketika sidang media selepas melawat Pameran Tuga Dekad Pentadbiran Kerajaan Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata demikian ketika ditanya berhubung khabar angin pelantikan Exco di kalangan Umno yang kembali berlegar.

Naib Presiden PAS itu berkata situasi Kelantan dan Terengganu berbeza dengan kerajaan negeri lain.

"Adapun di Kedah, rumah baru dibina. Sama juga di Johor, Perak dan Melaka.Tak boleh kita bandingkan dengan dua keadaan itu.

'Tapi bukanlah kita tak ambil kira peranan dan sumbangan Umno, tapi dalam bentuk yang berbeza. Memang ada yang bagus dalam Umno, saya pun tahu, tapi bukan masanya," katanya lagi.

Dia membangkitkan keputusan PAS untuk menolak tawaran lantikan Exco di Perlis dan Pahang kerana "tidak mahu mengusik rumah yang sudah siap".

"Sebab itu kita tak terima tawaran exco di Perlis dan Pahang. Kita tak mahu usik struktur yang sudah ada.

"Apa-apa perubahan pun tunggulah selepas pilihan raya. Di Kelantan, Umno pun tak minta (jawatan exco) dan kita pun tak tawarkan," katanya yang juga Adun Panchor.

Lihat Komen
ADS