Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PKR dakwa sidang parlimen tangguh awal mungkin ada motif lain
Diterbitkan:  Nov 2, 2020 4:34 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran mempersoalkan motif di sebalik keputusan memendekkan sidang Dewan Rakyat selama tiga jam yang dikatakan berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

"Keputusan untuk mengakhiri sidang parlimen awal hari ini mungkin mempunyai beberapa motif di belakangnya dan bukan semata-mata kerana takut kepada Covid-19. 

"Sejauh mana anda dapat mengekang penyebaran Covid-19 dengan memendekkan waktu dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari? Apa perbezaannya?" soal Prabakaran dalam satu kenyataan hari ini.

Prabakaran berkata banyak isu dan usul yang belum selesai akan dikemukakan pada persidangan kali ini.

"Dengan memendekkan waktu persidangan tidak akan membantu. Isu Rakyat harus diberi keutamaan.

"Harap ini bukan strategi politik lain untuk menguburkan beberapa usul yang dibawa oleh pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian susulan hari pertama sidang Dewan Rakyat ditangguh awal pada pukul 1 petang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan ketika mencadangkan usul itu berkata, ia susulan beberapa kakitangan Dewan Negara didapati positif Covid-19.

Takiyuddin berkata, cadangan itu juga diusulkan selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan risiko amat tinggi jika persidangan berlangsung dalam tempoh lama.

Bagaimanapun, Takiyuddin tidak memperincikan berapa bilangan kakitangan Dewan Negara yang disahkan dijangkiti wabak itu.

Tambahnya, langkah memendekkan tempoh itu hanya untuk persidangan pada minggu ini.

Sementara itu, Prabakaran mencadangkan semua hadirin ke parlimen perlu membuat ujian Covid-19 bagi kali kedua.

"Kita perlu ambil perhatian bahawa ahli parlimen dan pegawai mereka menjalani ujian saringan / ujian swab sebelum masuk ke Dewan Rakyat sesuai dengan garis panduan.

"Saya mencadangkan satu lagi ujian saringan untuk memastikan parlimen selamat dari Covid-19.

"Parlimen juga harus memastikan ujian saringan dan ujian swab kepada Ahli Parlimen, pegawai MP dan kakitangan parlimen setiap minggu, agar kita dapat meneruskan persidangan dengan aman," katanya.

Lihat Komen
ADS