Pemuda Umno serah RM1 juta bantu rakyat Lebanon
Pemuda Umno menyampaikan sumbangan orang ramai berjumlah RM1 juta kepada Tabung Bantuan Asia Barat TV3, bagi membantu rakyat Lebanon yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Pemuda Umno menyampaikan sumbangan orang ramai berjumlah RM1 juta kepada Tabung Bantuan Asia Barat TV3, bagi membantu rakyat Lebanon yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Ketika menyampaikan sumbangan tersebut hari ini, Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia merupakan baki hasil kutipan tabung-tabung bantuan yang ditubuhkan pergerakan itu sebelum ini.
"Ini bukan duit Pemuda Umno. Ini duit rakyat iaitu baki kutipan yang kita dapat daripada tabung-tabung yang kita tubuhkan pada masa lepas," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek sumbangan itu kepada tabung yang ditubuhkan oleh stesen televisyen TV3, di Ibu Pejabat Pemuda Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut laporan Bernama, Pengarah Operasi TV3 Anthony Firdaus Bujang menerima cek tersebut.
Sehubungan itu, Hishammuddin meminta orang ramai yang berkemampuan supaya terus menghulurkan bantuan bagi membantu meringankan kesengsaraan rakyat negara itu.
Rombongan Pemuda BN
Mengenai lawatan Pemuda Barisan Nasional (BN) ke beberapa negara di rantau ini bagi mendapat sokongan antarabangsa supaya mengutuk Israel, beliau berkata, rombongan ke India yang diketuai Ketua Pemuda MIC, S. Vigneswaran dan lapan yang lain, bermula semalam.
Pemuda Umno pula, katanya, akan melawat negara-negara di Timur Tengah dan Pemuda MCA ke Filipina dan China.
Sementara itu, Ketua Umum Komiti Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Hasanuddin Yusof yang turut hadir di majlis tersebut berkata, KNPI akan turut membantu meraih sokongan antarabangsa menggesa Israel menghentikan kekejaman terhadap rakyat Lubnan.
"Pemuda Indonesia sepakat dengan Pemuda Malaysia untuk bersama-sama membantah kekejaman Israel," katanya.

