M'sia hantar 1,000 tentera sertai misi pengaman di Lebanon
Malaysia akan menghantar 1,000 anggota tentera untuk menyertai misi pengaman di Lebanon sebaik sahaja gencatan senjata diisytiharkan.
Malaysia akan menghantar 1,000 anggota tentera untuk menyertai misi pengaman di Lebanon sebaik sahaja gencatan senjata diisytiharkan.
Panglima Angkatan Tentera (ATM) Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, ATM sedang menunggu kelulusan kerajaan sebelum menghantar pasukan itu ke negara di Timur Tengah itu.
"Kami akan menghantar pasukan kami mengikut keperluan negara itu. Pada masa ini, kami sedang memperincikan persiapan untuk berlepas ke sana," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis induksi Hall of Fame kepada Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Ilyas Din, beliau berkata, angkatan tentera telah memutuskan untuk menghantar anggota dari unit penjenteraan Briged Ke-4.
"Kami akan menghantar kereta perisai dan pasukan yang dilengkapi pakaian kalis peluru bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Bersiap sedia
Menurut laporan Bernama, Mohd Anwar berkata satu pasukan pemerhati akan berlepas ke Lebanon tidak lama lagi bagi mengumpulkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa di sana.
"Amat penting bagi kami merancang strategi kami dengan rapi," katanya.
Dalam mesyuarat khas Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Putrajaya hari Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Malaysia akan menghantar batalion penjenteraan bagi misi pengaman ke Lebanon di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Abdullah ialah pengerusi OIC.
Mohd Anwar berkata, pasukan Malaysia telah dipersiapkan untuk menghadapi sebarang kemungkinan di Lebanon.
"Kami mungkin berdepan dengan cabaran paling getir berbanding pengalaman kami dalam misi pengaman sebelum ini di Bosnia-Hezergovina, Somalia dan baru-baru ini di Timor Leste.
"Risiko bahaya itu tidak menghalang kami daripada menjalankan tugas kami. Saya pasti pengalaman yang ada pada kami dalam misi pengaman akan membantu kami memberikan khidmat terbaik," katanya.

