Tindakan kerajaan PAS Kelantan yang didakwa membenarkan penjualan tanah rezab Melayu kepada bukan Melayu dari Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang atas dasar pembangunan, akan menjadi fokus utama perbahasan dalam mesyuarat Umno bahagian Tumpat pada 26 Ogos ini.

Naib Ketua Umno bahagian itu, Mohd Rosdi Abdul Aziz berkata, berdasarkan mesyuarat Umno di peringkat cawangan di seluruh Tumpat yang baru selesai baru-baru ini, isu ini hampir pasti akan dibincangkan.

Katanya, ahli Umno sangat marah dengan langkah kerajaan PAS yang didakwanya dengan sewenang-wenangnya membenarkan bukan Melayu dari luar Kelantan mengambil tanah rezab Melayu untuk dimajukan dengan projek pembangunan.

"Sebahagian besar tanah rezab Melayu di Jalan Hamzah dan Bandar Baru Pasir Pekan sudah terlepas kepada pemaju bukan Melayu dari luar Kelantan. Tanah di Lembah Sireh yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu seluas 3,000 ekar, sudah berpindah milik kepada bukan Melayu.

"Tapak cadangan pembinaan muzium seluas 15 hektar di Bandar Baru Pasir Pekan sudah diberi kepada pemaju bukan Melayu. Sawah di kawasan sekitar juga diserahkan kepada pemaju terbabit. Sebuah syarikat mendapat banyak projek pembangunan di Kelantan sehingga syarikat itu dipanggil PKINK nombor dua.

"Maklumat lengkap saya tidak ingat tetapi jumlah tanah Rezab Melayu yang sudah tergadai kepada bukan Melayu dari luar Kelantan mencapai beribu-ribu hektar," dakwa Mohd Rosdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Baru ketika dihubungi hari ini.

Dapat keuntungan

Mohd Rosdi mendakwa perkara ini telah lama berlaku tetapi semakin memuncak sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Beliau mendakwa, kerajaan PAS membenarkan syarikat berkenaan membeli tanah rezab Melayu untuk projek pembangunan tetapi yang mendapat keuntungan ialah orang dari luar Kelantan.

"Jika fenomena ini tidak disekat, lama kelamaan semua tanah rezab Melayu habis tergadai kepada bangsa asing," katanya lagi.

Mohd Rosdi berkata, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak serius membendung masalah tersebut.

Katanya, Nik Aziz tidak boleh menjadikan isu pembangunan sebagai aspek utama untuk menjual tanah rezab Melayu di Kota Bharu kepada orang bukan Melayu dari Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

"Cara yang dilakukan oleh kerajaan negeri itu umpama menjual negeri ini kepada orang luar. Ke mana perginya orang Melayu Kelantan?," katanya lagi.

Mohd Rosi berkata, mesyuarat bahagian Umno Tumpat akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pada 26 Ogos ini.