GLOBAL l Lebih 97 juta rakyat Amerika telah pun mengundi awal di Amerika Syarikat menjelang hari pilihan raya, lapor agensi berita Xinhua.

Keseluruhan undi awal berjumlah 97,867,186 pada 6.30 petang waktu Timur (2330 GMT) pada Isnin, menurut laman web Projek Pilihan Raya Amerika Syarikat yang berkecuali - dikendalikan seorang profesor dengan Universiti Florida, Michael McDonald, yang mengumpulkan data peringkat daerah.

Undian awal merangkumi lebih 35 juta pengundi, serta 62 juta undi pos yang dikembalikan, dan angka itu mewakili sekitar 71 peratus daripada jumlah undi dikira dalam pilihan raya 2016.

Di 20 negeri yang melaporkan pendaftaran pengundi awal parti, Projek Pilihan Raya mendapati 45.2 peratus terdiri Demokrat, 30.5 peratus Republikan dan 23.6 peratus tidak menyenaraikan keanggotaan parti.

Dipercayai jumlah pengundi tahun 2020 boleh menjadi tertinggi dalam tempoh seabad.

- Bernama