Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) menyambut baik cadangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Redzuan Md Yusof supaya akta tertentu diwujudkan bagi menangguhkan pilihan raya apabila negara berdepan krisis, terutama membabitkan aspek kesihatan seperti penularan wabak Covid-19.

"ERC menyambut baik kesediaan kerajaan untuk mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu membabitkan proses pilihan raya untuk mengekang penularan Covid-19.

"ERC berpandangan sudah tiba masa untuk satu semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum ditangguhkan semasa krisis termasuklah ketika krisis kesihatan, huru-hara dan bencana alam atau ketika keadaan yang membahayakan keselamatan negara.

"Bagi tujuan ini, satu peruntukan yang khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengambil tindakan-tindakan perlu apabila berlaku apa-apa keadaan krisis yang memudaratkan negara," kata Pengerusi ERC Abdul Rashid Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika mengemukakan cadangan akta tententu itu, Redzuan berkata bahawa tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya seperti pilihan raya negeri Sabah pada bulan September, yang melibatkan perhimpunan besar, telah mengakibatkan lonjakan kes Covid-19 di negara ini.

Abdul Rashid berkata ERC juga menyambut sekiranya ada usaha untuk memperkasakan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) semasa krisis kesihatan, sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada minggu lalu.

"ERC berpandangan beberapa peruntukan baharu harus diperkenalkan dengan tujuan mengatasi keadaan-keadaan yang boleh mengganggu-gugat suasana pilihan raya demokratik yang boleh menghakis kebebasan, keadilan dan ketelusan.

"Ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah-kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya.

"Di dalam pilihan raya demokratik setiap calon dan juga setiap parti wajar diberikan peluang seluas-luasnya untuk berkempen dan pengundi tidak harus dibatasi dengan peraturan-peraturan yang boleh dianggap menyekat mereka untuk menunaikan tanggungjawab secara adil dan bebas," katanya.

Tambah beliau bahawa kerangka perundangan semasa hanya memberi SPR kuasa untuk menguruskan pilihan raya di mana badan bebas itu wajib mengadakan pilihan raya apabila wujud kekosongan.

Bagaimanapun tiada peruntukan bagi menangguhkan pilihan raya.

Mengikut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, SPR wajib mengadakan pilihan raya untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam masa 60 hari.

"Oleh itu, sudah tiba masa peruntukan baharu iaitu memasukkan Artikel atau Subartikel baharu dalam Perlembagaan Persekutuan atau seksyen baru dalam Akta Pilihan Raya 1954 disediakan bagi memperkasakan SPR yang diberi amanah untuk mengendalikan dan menguruskan pilihan raya di negara ini," katanya.

Dia menjelaskan bahawa dalam laporan ERC yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 27 Ogos 2020, sebagai salah satu penambahbaikan elemen kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi luar jangka, dicadangkan agar SPR membangunkan garis panduan khusus berkaitan dengan pengurusan pilihan raya ketika kecemasan.

"Ini meliputi keadaan dan kecemasan seperti mala petaka alam, rusuhan ataupun perintah berkurung seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (susulan wabak penyakit yang sukar di atasi dalam waktu yang singkat).

"ERC bersedia untuk membantu kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan peruntukan baharu berkaitan dengan keperluan menangguhkan pilihan raya semasa krisis, sekali gus menjadikan sistem pengurusan pilihan raya di negara ini adalah yang lebih efektif dan adil," katanya.