Pemimpin-pemimpin pelajar universiti mahu pihak yang mengendalikan pilihanraya kampus memastikan tiada campur tangan daripada parti politik.

Pihak berkuasa perlu "memastikan tiada campur tangan daripada pihak-pihak luar yang tidak berkenaan terutamanya dalam pengendalian pilihanraya serta perkara berkaitan pelajar seperti sokongan parti-parti politik," kata mereka, hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh pemimpin pelajar daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa.

Dalam kenyataan itu, mereka mengemukakan 10 tuntutan kepada Kementerian Pendidikan, Bahagian Hal-Ehwal Pelajar, pentadbiran kolej dan fakulti di universiti serta pihak lain yang mengendalikan pilihanraya kampus.

Antara tuntutan mereka ialah memastikan wakil pelajar diundang dalam perjumpaan dan mesyuarat berkaitan pilihanraya supaya pandangan pelajar dapat diketengahkan dan sebarang perubahan pilihanraya perlu dimaklumkan kepada pimpinan pelajar.

Mereka juga menuntut agar tidak wujud penggunaan budibicara secara meluas oleh pegawai kerana ia boleh menimbulkan prejudis pelajar terhadap pentadbiran universiti.

Dalam kenyataan itu, mereka juga menuntut supaya tidak berlakunya layanan tidak seimbang oleh pentadbir univeristi kepada mana-mana mahasiswa atau persatuan mahasiswa semasa pilihanraya.

Pilihanraya majlis atau persatuan perwakilan pelajar untuk pertama kali akan diadakan serentak di seluruh unversiti awam akhir bulan ini, kebanyakannya pada 22 November.

Tidak seragam

Sementara itu, bekas pemimpin perwakilan pelajar UPM, Nasri Muarat berkata jika pilihanraya diadakan serentak, peraturan dan sistem yang digunakan juga perlu selaras.

"Apa yang dilihat sekarang ialah keseragaman hanya berlaku pada tarikh pilihanraya. Keselarasan ciri-ciri calon pelajar yang boleh bertanding masih lagi tidak berlaku, contohnya kelayakan akademik antara universiti masih berbeza," katanya kepada malaysiakini .