Pelakon Maya Karin menafikan khabar angin yang beliau sudah berkahwin dengan anak seorang VVIP dan hairan bagaimana berita itu boleh timbul.

Menurutnya ,beliau buat masa ini sedang sibuk dengan filem terbaru Tayangan Unggul "Anak Halal" yang akan mula penggambarannya pertengahan bulan ini, arahan Osman Ali dan tidak memikirkan soal perkahwinan.

Maya menegaskan demikian semasa ditemu bual hos program talk show "AC Mizal Di Sini" yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen berbayar, Astro, di sini malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Maya bagaimanapun, tidak menafikan yang beliau sudah mempunyai seorang teman lelaki berbangsa Eropah, namun menegaskan bahawa lelaki itu hanya "teman biasa sahaja".

Maya yang pernah memenangi anugerah pelakon wanita terbaik Festival Filem Asia Pasifik dua tahun lalu bagi lakonannya dalam filem arahan Suhaimi Baba "Pontianak Harum Sundal Malam" sebelum ini dikaitkan mempunyai hubungan intim dengan beberapa orang ternama termasuk Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Semalam, Khairy menafikan khabar angin yang beliau sudah berkahwin dengan Maya.

Dalam persidangan akhbar di Kota Bharu selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa di Kota Baharu, Khairy menegaskan, isterinya hanya satu iaitu Nori Abdullah, anak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.