Suasana pilu dan suram mengiringi persemadian mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat, di Taman Peringatan Nirvana di Sibu hari ini yang meninggal dunia ketika bertugas pada Ahad.
Semua berdiri tegak dan tangisan kedengaran ketika lagu Last Post dimainkan sambil diiringi tiupan begol oleh dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.
Upacara pengebumian itu turut dihadiri ramai rakan setugas diketuai Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit dan ketika bapa Nicholester, Sarjan Unggat Piun memberi tabik hormat kepada Stanley, air mata beliau mengalir di pipinya.
Wartawan penyiaran RTM Sibu, Madelina Jawai Stephen yang membuat liputan upacara itu juga tidak dapat menahan air matanya kerana teringat mendiang bapanya Stephen Bilong Liwen, bekas anggota polis yang meninggal dunia tahun lepas.
Unggat yang bertugas di Cawangan Khas di Kuching berterima kasih kepada Kontinjen Polis Johor diketuai Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Balai Polis Bandar Dato’ Onn, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan Stanley kerana menguruskan jasad anaknya untuk disemadikan di Sibu.
“Adalah menjadi harapan saya, pegawai atasan Polis Diraja Malaysia akan menghargai, mempertimbangkan dan melakukan yang terbaik untuk anak saya dan beliau akan dikenang sebagai wira dalam pasukan polis,” katanya dalam ucapan ringkas di gereja taman peringatan tersebut, sebelum itu.
- Bernama
