Khairy sedia berundur jika jadi liabiliti Pemuda Umno
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini berkata beliau sanggup melepaskan jawatannya jika dianggap sebagai liabiliti kepada pergerakan itu kerana berpegang kepada budaya Umno bahawa 'parti lebih penting daripada pemimpin'.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini berkata beliau sanggup melepaskan jawatannya jika dianggap sebagai liabiliti kepada pergerakan itu kerana berpegang kepada budaya Umno bahawa 'parti lebih penting daripada pemimpin'.
Bagaimanapun, katanya, sebagai menghormati ahli-ahli parti, sebarang keputusan mengenai kedudukannya hanya boleh ditentukan perwakilan pergerakan itu memandangkan mereka yang memilih beliau.
"Hanya mereka yang boleh tentukan. Sesiapa pun tidak boleh paksa seseorang itu keluar melainkan mereka yang memberi amanah kepada pemimpin tersebut.
"Pemimpin menjalankan amanah perwakilan. Jika pemimpin tersebut tidak ada kredibiliti dan menjadi liabiliti kepada organisasai tersebut, mereka tidak bolehlah pegang jawatan tersebut dan mereka harus sedar diri," katanya.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur hari ini.
"Jadi saya nak minta pandangan daripada anggota Pemuda di peringkat akar umbi sama ada saya sudah menjadi liabiliti dengan segala spekulasi dan sebagainya.
"Saya nak tengok apakah sentimen di peringkat akar umbi terhadap isu kebangsaan, isu pemuda, antarabangsa dan isu saya sendiri. Oleh itu, saya boleh dapat pandangan yang jelas," katanya.
Diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya terdapat pegawai yang bekerja di tingkat empat Pejabat Perdana Menteri yang mempunyai kuasa mempengaruhi keputusan kerajaan, beliau berkata dakwaan itu merupakan satu penghinaan kepada Perdana Menteri.
Pinjam duit
"
Untuk menyatakan penasihat dan pegawai yang tentukan masa depan negara dan keputusan kerajaan, ini adalah satu `insult' (penghinaan) yang cukup besar kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi)," katanya.
Khairy berkata tuduhan itu adalah tidak berasas kerana segala keputusan berkaitan kerajaan dibuat oleh Perdana Menteri dengan persetujuan jemaah menteri.
"Yang saya dengar PM bagi penjelasan sudah tentunya tingkat empat lebih berkuasa daripada tingkat lima sebab bilik Jemaah Menteri berada di tingkat empat dan bilik Jemaah Menteri lagi berkuasa daripada Pejabat Perdana Menteri kerana semua menteri ada dalam Jemaah Menteri. Jika itu dimaksudkan, mungkin betul," katanya.
Diminta mengulas mengenai dakwaan beliau menjadi jutawan dalam masa yang singkat kerana mampu membeli saham ECM Libra Berhad, Khairy berkata: "Saya pinjam duit itu.
"Segalanya pinjaman, bukan duit saya sendiri. Mujur ada orang nak pinjamkan duit. Saya ambil pinjaman daripada mereka (ECM Libra) yang jual saham itu kepada saya."
Semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa semalam, Khairy berkata beliau akan menggunakan peluang merasmikan lebih 30 mesyuarat bahagian Pemuda untuk menjelaskan segala tohmahan mengenainya.
Beliau berkata serangan yang dilemparkan terhadapnya begitu peribadi dan sebagai seorang yang bermaruah, fitnah itu perlu diperjelaskan segera terutama kepada anggota parti.
Semalam juga, menantu Perdana Menteri itu menafikan dakwaan beliau sudah berkahwin dengan pelakon dan pengacara popular, Maya Karin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.