Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1,009 kes baru, 6 kematian, 78 di ICU
Diterbitkan:  Nov 5, 2020 6:18 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Jumlah kes positif harian Covid-19 di Malaysia buat hari ketiga terus berada pada empat digit, iaitu pada 1,009 kes berbanding 1,032 kes yang dicatakan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 36,434 kes dengan kes aktif sebanyak 10,503.

Dia berkata daripada kes baru itu, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 564 kes.

“Sabah mencatatkan sebanyak 564 kes atau 55.9 peratus daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 198 kes atau 19.6 peratus dan Labuan mencatatkan sebanyak 95 kes positif atau 9.4 peratus pada hari ini.

“Kelima-lima negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyumbang sebanyak 857 kes atau 84.9 peratus daripada keseluruhan kes positif Covid-19 pada hari ini,” katanya.

Jumlah kes baru mengikut negeri adalah seperti berikut: Sabah (564 kes), Selangor (177), Labuan (92), Negeri Sembilan (90), Pulau Pinang (36), Kuala Lumpur (14), Kedah (7), Sarawak (6), Perak (6), Melaka (5), Johor (2) dan Putrajaya (1).

"Daripada 1,000 kes penularan di dalam negara, empat kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah.

"Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu adalah sebanyak 483 kes," katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat lima kluster baru dikenal pasti pada hari ini.

Sementara itu, daripada keseluruhan kes baru terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham berkata terdapat sebanyak 839 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 25,654 atau 70.4 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 78 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan enam kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah lima mangsa adalah dari Sabah dan seorang lagi di Selangor.

Daripada jumlah itu, empat adalah warga negara dan dua lagi bukan warga negara. Semua mereka berusia lebih 50 tahun dan dengan latar belakang mempunyai sakit seperti kencing manis, darah tinggi dan asma.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 277 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 

Lihat Komen
ADS